Aneka Jaringan terima projek bernilai RM53 juta

Hasil Aneka Jaringan lonjak 31.8 peratus pada suku pertama

KUALA LUMPUR: Aneka Jaringan Holdings Bhd (Aneka Jaringan) memulakan tahun kewangan 2026 (TK2026) dengan langkah kanan apabila merekodkan lonjakan hasil ketara sebanyak 31.8 peratus kepada RM82.42 juta bagi suku pertama berakhir 30 November 2025.

Prestasi memberangsangkan itu jauh lebih tinggi berbanding RM62.55 juta yang dicatatkan pada suku sebelumnya, menandakan pemulihan momentum operasi syarikat pakar pembinaan bawah tanah dan asas itu.

Peningkatan ketara berkenaan dipacu terutamanya oleh kemajuan kerja yang lebih baik merentasi projek-projek yang sedang berjalan serta tahap aktiviti pembinaan yang lebih tinggi.

Berasaskan tahun ke tahun, hasil turut mencatatkan kenaikan sebanyak 3.7 peratus daripada RM79.47 juta, disokong oleh pelaksanaan stabil portfolio pembinaan kumpulan di pasaran Malaysia dan Indonesia.

Pengarah Urusan Aneka Jaringan, Pang Tse Fui, berkata pertumbuhan pendapatan suku ke suku yang kukuh itu mencerminkan momentum pelaksanaan yang semakin baik ketika kumpulan memasuki TK2026.

“Walaupun keuntungan kembali normal daripada suku sebelumnya, tumpuan kami terhadap pelaksanaan yang berdisiplin, kawalan kos dan tadbir urus terus menyokong prestasi yang mampan,” katanya.

Dari aspek keuntungan, kumpulan mencatatkan keuntungan kasar sebanyak RM5.34 juta, meningkat 12.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencerminkan disiplin operasi berterusan.

Bagaimanapun, keuntungan selepas cukai (PAT) direkodkan pada RM1.16 juta, menyusut berbanding RM2.33 juta pada tahun sebelumnya.

Menurut kenyataan itu, penurunan berkenaan disebabkan ketiadaan item pendapatan ‘sekali sahaja’ yang diiktiraf pada tahun lalu serta normalisasi margin berikutan suku terakhir yang lebih kukuh pada TK2025.

Mengulas mengenai prospek masa depan, kumpulan berjaya memperoleh projek tambahan dengan nilai kontrak RM87.87 juta setakat tarikh laporan itu dikeluarkan, sekali gus mengukuhkan keterlihatan pendapatan dan aliran pesanan untuk tahun kewangan semasa.

“Melihat ke hadapan, kumpulan kekal optimis dengan berhati-hati terhadap prospek pembinaan untuk TK2026.

“Dengan momentum pelaksanaan yang semakin baik, saluran pesanan yang semakin berkembang dan asas kewangan berdisiplin, Aneka Jaringan berada pada kedudukan baik untuk mengekalkan prestasi operasi,” jelas kenyataan itu lagi.

Kedudukan kewangan Aneka Jaringan kekal kukuh dengan tunai dan deposit jangka pendek berjumlah RM22.29 juta, menyediakan kecairan mencukupi untuk menyokong keperluan modal kerja dan projek semasa.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *