KUALA LUMPUR — Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh mengakui parti itu sedang berdepan satu “penyakit berbahaya” yang jika tidak ditangani segera, berpotensi mempercepatkan kejatuhan UMNO pada pilihan raya akan datang.
Penyakit yang dimaksudkan, menurut beliau, ialah denial syndrome atau sindrom penafian, keadaan di mana kepimpinan dan ahli parti masih meyakinkan diri bahawa UMNO berada dalam keadaan baik, sedangkan hakikat sebenar menunjukkan sebaliknya.
Kata beliau, rasa selesa yang wujud dalam kalangan kepimpinan UMNO hari ini banyak berpunca daripada kedudukan parti dalam kerajaan, kewujudan menteri-menteri UMNO dalam Kabinet serta prestasi pentadbiran yang boleh dibanggakan.
Namun, katanya, faktor tersebut tidak seharusnya dijadikan ukuran mutlak bahawa sokongan rakyat terhadap UMNO telah pulih.
“Untuk dua pilihan raya umum berturut-turut, UMNO telah tewas dan jumlah kerusi Parlimen yang dimenangi semakin mengecil. Ini bukan tanda parti sedang berada dalam keadaan selamat,” katanya, sambil menegaskan kekalahan berulang itu mencerminkan kemerosotan kepercayaan rakyat yang belum dipulihkan sepenuhnya.
Beliau menegaskan, realiti di peringkat akar umbi sangat berbeza daripada gambaran di atas kertas.
“Di lapangan, rakyat masih keliru mengenai hala tuju perjuangan UMNO, manakala penyokong setia pula terus mempersoalkan ke mana arah sebenar parti.
“Kegelisahan ini didengari hampir setiap hari oleh sayap Pemuda yang menjadi penghubung paling hampir dengan suara generasi muda dan akar umbi,” katanya.
Mengulas lebih jauh, Dr. Akmal mengingatkan bahawa sejarah penubuhan parti itu sendiri tidak pernah bersandar kepada kuasa semata-mata, sebaliknya lahir sebagai sebuah gerakan rakyat yang berteraskan kepercayaan, prinsip dan perjuangan mempertahankan agama, bangsa dan tanah air, suatu semangat yang menjadi asas penentangan terhadap Malayan Union suatu ketika dahulu.
“UMNO tidak ditubuhkan sebagai mesin untuk menang pilihan raya. Ia dibina atas kepercayaan rakyat,” katanya, sambil mengingatkan kuasa tanpa kepercayaan hanyalah bersifat sementara dan rapuh.
Walaupun mengakui UMNO hari ini berada dalam kerajaan dan mempunyai menteri yang berwibawa, beliau membangkitkan satu persoalan yang disifatkan paling jujur dan perlu ditanya ketika ini, adakah kepercayaan rakyat terhadap UMNO benar-benar meningkat sepanjang tempoh parti berada dalam kerajaan?
Menurut beliau, jawapan kepada soalan itu tidak boleh lagi dielakkan kerana UMNO kini sedang berdepan krisis kepercayaan yang nyata dan tidak boleh disorok dengan angka, jawatan atau naratif kejayaan pentadbiran semata-mata.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, keperluan UMNO untuk kembali bercakap dalam “bahasa rakyat”, menyuarakan keresahan, kekecewaan dan harapan rakyat walaupun kebenaran yang disampaikan itu pahit untuk ditelan.
Dalam konteks ini, Pemuda UMNO berikrar akan terus memainkan peranan sebagai “loceng kecemasan” parti, selaras dengan amanat Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan bagi memastikan kepimpinan tidak leka dan terpisah daripada realiti rakyat.
Beliau turut mengingatkan, status sebagai parti kerajaan hari ini sama sekali tidak menjamin kemenangan pada masa depan.
“Jika krisis kepercayaan dibiarkan berlarutan dan suara akar umbi terus dipendam, UMNO tidak seharusnya terkejut sekiranya rakyat memilih untuk menarik balik kepercayaan mereka pada Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya.
Sebagai peringatan, Dr. Akmal mengajak ahli parti meneladani pengalaman antarabangsa sambil merujuk kepada Parti Liberal Demokratik (LDP) di Jepun yang pernah tumbang selepas terlalu lama berkuasa, namun berjaya bangkit semula sebagai pembangkang berdisiplin sebelum kembali memerintah dengan mandat rakyat.
Sebaliknya, beliau turut mengingatkan mengenai nasib Parti Revolusioner Institusional (PRI) di Mexico yang hampir tujuh dekad memerintah, tetapi akhirnya tumbang kerana kehilangan jiwa perjuangan dan prinsip asal.
“Kisah ini mengajar kita satu perkara yang jelas, iaitu parti boleh jatuh kerana kehilangan kuasa, tetapi parti hanya akan mati apabila ia kehilangan prinsip,” katanya.
Dalam amanat kepada ahli Pemuda UMNO, khususnya generasi muda yang baharu menyertai parti, beliau menegaskan, perjalanan sayap parti itu tidak pernah dijanjikan mudah.
Namun, beliau menyeru agar cabaran dan “tembok besar” yang menghalang perjuangan hari ini tidak dijadikan alasan untuk berundur, sebaliknya perlu dihadapi dan dipecahkan demi membina laluan perjuangan yang lebih bermakna.
Beliau menutup kenyataan dengan amaran tegas, menafikan suara rakyat dan akar umbi bukanlah usaha menyelamatkan UMNO, sebaliknya hanya melambatkan kejatuhan parti.
Justeru, Pemuda UMNO, katanya, memilih jalan yang sukar, tidak popular dan kelihatan sunyi, tetapi diyakini sebagai jalan terbaik demi kelangsungan dan pemulihan parti.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L