Shukri, Ketua Penerangan Bersatu ‘bertelagah’ isu krisis politik Perlis

PETALING JAYA – Shukri Ramli dan Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz saling berbalas kenyataan di media sosial berhubung versi sebenar kejadian krisis politik di Perlis yang berakhir dengan peletakan jawatan Shukri sebagai Menteri Besar.

Dalam satu hantaran di Facebook, Tun Faisal mengulangi kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa parti itu tidak mengkhianati Pas di Perlis.

Tun Faisal menegaskan lima ADUN Bersatu di negeri itu tidak pernah mengemukakan akuan berkanun kepada Raja Perlis bagi menyatakan penarikan sokongan terhadap Shukri.

Beliau berkata, Shukri meletakkan jawatan atas faktor kesihatan dan tindakan itu tidak ada kaitan dengan Bersatu atau ADUNnya.

Bagaimanapun, di ruangan komen hantaran tersebut, Shukri menuduh Tun Faisal sebagai Ketua Penerangan tidak cekap kerana mengumpul maklumat hanya berdasarkan daripada sesiapa sahaja ditemuinya.

Tun Faisal kemudian membalas dengan menggesa ADUN Sanglang tiga penggal itu supaya ‘terimalah kebenaran dan lawanlah kebatilan’.

“Carilah kebenaran sebelum mengeluarkan kenyataan,” balas Shukri, yang kemudiannya ditegaskan Tun Faisal, yang beliau telah berbuat demikian.

“Ya, saya sudah cari dan semak (kebenaran). Kat mana yang salah? Boleh tolong beritahu,” tanya pemimpin Bersatu itu.

Shukri meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perlis bulan lalu dengan alasan faktor kesihatan selepas lima ADUN Bersatu dan tiga ADUN Pas dilaporkan menarik balik sokongan terhadapnya.

Tiga ADUN Pas itu kemudian ditamatkan keahlian parti, walaupun mereka menegaskan tindakan menarik sokongan terhadap Shukri adalah ‘keputusan yang betul”.

Jawatan Menteri Besar kemudiannya disandang Ketua Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah.

Walaupun beliau mendapat sokongan Pas sebagai Menteri Besar, parti itu enggan menyertai pentadbiran kerajaan negeri sebagai tanda bantahan.

Ia mencetuskan ketegangan dalam Perikatan Nasional (PN), dengan Bersatu dituduh mengkhianati Pas.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *