KOTA BHARU – Nama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang kembali disebut sebagai tokoh berpotensi untuk menerajui Perikatan Nasional (PN) susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi gabungan itu.
Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Md. Noor berpandangan, kemungkinan itu wajar dipertimbangkan memandangkan realiti kekuatan parti dalam PN yang kini banyak digerakkan oleh Pas dan BERSATU.
Menurut beliau, struktur gabungan itu sendiri memberi isyarat kepimpinan tertinggi PN lazimnya dipacu oleh ketua parti utama. Justeru, jika Pas diberi kepercayaan mengetuai PN, Abdul Hadi dilihat sebagai pilihan paling logik.
“Malah sebelum ini, jawatan Pengerusi PN pernah ditawarkan kepada beliau, namun ditolak. Situasi kali ini mungkin berbeza,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) sempena sambutan ketibaan pelancong bagi Tahun Melawat Malaysia 2026.
Bagaimanapun, Pas sebelum ini memberi bayangan jawatan tersebut tidak semestinya disandang oleh presidennya.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menjelaskan, calon Pengerusi PN perlu daripada pemimpin yang mampu menyatu dan menggerakkan keseluruhan kekuatan parti dalam gabungan itu.
Kamaruddin turut menegaskan, BERSATU bersikap terbuka dan tidak akan membantah sekiranya Pas diberi peranan utama dalam menentukan Pengerusi PN yang baharu.
Proses pelantikan dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat menerusi perbincangan semua ketua parti PN bagi mencapai persetujuan bersama.
Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan, parti itu akan mengemukakan beberapa nama untuk dipertimbangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PN yang akan datang bagi mengisi kekosongan jawatan berkenaan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L