KUALA LUMPUR – PAS menyifatkan keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa 1 Januari 2026 sebagai satu langkah tepat dan wajar, khususnya dalam usaha menyuntik nafas baharu kepada kepimpinan gabungan itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ketua Penerangannya, Fadhli Shaari berkata, keputusan itu membuka ruang kepada proses penyusunan semula kepimpinan dan organisasi PN secara lebih menyeluruh, selaras dengan keperluan semasa landskap politik negara yang semakin mencabar.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, PAS bersedia menampilkan calon daripada partinya untuk dipertimbangkan sebagai Pengerusi PN yang baharu, namun menegaskan individu tersebut tidak semestinya memegang jawatan presiden parti.
“Yang lebih penting ialah tokoh berkenaan mampu menggembleng kekuatan semua parti komponen dalam PN serta memimpin gabungan ini dengan pendekatan lebih tersusun dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook hari ini.
Fadhli turut menjangkakan rombakan organisasi PN akan dilakukan dalam masa terdekat bagi memberikan fokus lebih jelas terhadap gerak kerja politik, khususnya dalam memperkukuh jentera dan kesiapsiagaan menghadapi PRU16.
“Pastinya rombakan akan dilakukan terhadap organisasi Perikatan Nasional bagi memberikan tumpuan sepenuhnya kepada gerak kerja selepas ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Muhyiddin atas sikap terbuka dan kesediaan beliau mengambil tanggungjawab politik dengan berundur secara terhormat demi kepentingan gabungan.
Fadhli turut mengucapkan tahniah kepada Muhyiddin serta menyampaikan ucapan selamat menjalankan tugas kepada bakal Pengerusi PN yang baharu.
Pengunduran Muhyiddin ini dijangka mencetuskan perbincangan dan rundingan lanjut dalam kalangan kepimpinan tertinggi PN berhubung hala tuju gabungan serta struktur kepimpinan yang lebih mantap bagi menghadapi cabaran politik akan datang.
Tekanan terhadap kepimpinan Muhyiddin sebelum ini dilaporkan semakin memuncak susulan krisis politik di Perlis, yang menyaksikan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu dilantik sebagai Menteri Besar, manakala tiga ADUN PAS pula dipecat daripada parti, sekali gus menimbulkan ketegangan dalam hubungan antara parti komponen PN.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L