UMNO Selangor Anggap Tindakan Yeo Bee Yin Cemari Semangat Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR – Sikap Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, yang terus berdiam diri selepas digesa memohon maaf berhubung satu hantaran berkaitan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, disifatkan sebagai tidak menghormati rakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, tindakan Bee Yin yang juga Setiausaha Publisiti DAP itu mencerminkan kedegilan seorang pemimpin parti komponen kerajaan, sekali gus mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan akar umbi UMNO.

Menurutnya, isu berkenaan akan dibawa ke peringkat lebih tinggi termasuk Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Selangor yang akan datang.

“Beliau tidak memberi sebarang maklum balas terhadap memorandum dan bantahan yang telah dikemukakan. Ini menunjukkan sikap keras kepala dan tidak sensitif terhadap rakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kita akan meminta Badan Perhubungan UMNO Selangor membawa suara bantahan, kekesalan dan kemarahan akar umbi kepada pimpinan Pakatan Harapan (PH) Selangor, khususnya Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari,” katanya ketika dihubungi Berita Harian semalam.

Semalam, UMNO Bahagian Puchong mengumumkan semua bentuk kerjasama politik dengan PH di kawasan itu diputuskan serta-merta.

Setiausaha UMNO Bahagian Puchong, Mohamad Yusof Mohamed Yassin berkata, keputusan itu dibuat susulan kegagalan Bee Yin memohon maaf dalam tempoh 24 jam yang ditetapkan, berakhir pada 24 Disember lalu.

Tindakan itu susulan satu hantaran Bee Yin di media sosial berbunyi, “Another reason to celebrate this year end” (satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini), yang disertakan dengan pautan berita bertajuk “No house arrest for Najib” (tiada tahanan rumah untuk Najib).

Mengulas lanjut, Mohd Imran berkata, Pemuda UMNO Selangor akan menilai semula bentuk kerjasama dengan DAP, khususnya di peringkat negeri, berikutan kenyataan dan tindakan Ahli Parlimen tersebut.

“Setakat ini, kami telah memberi respon terhadap kenyataan DAPSY Selangor dan terbuka untuk berdialog secara serius. Namun, tanggungjawab utama terletak pada pimpinan DAP Selangor kerana Bee Yin memegang jawatan penting dalam parti.

“Saya juga ingin memberi kredit kepada pimpinan DAP Selangor yang tidak mengeluarkan kenyataan berunsur provokasi seperti yang dilakukan oleh beliau,” katanya.

Ditanya sama ada Pemuda UMNO Selangor akan mengambil pendirian lebih tegas dan tidak lagi berkompromi dengan DAP, Mohd Imran berkata, pihaknya masih menunggu penjelasan rasmi daripada pucuk pimpinan parti itu.

“Sebagai rakan kerjasama dalam Kerajaan MADANI, kita telah berkhidmat bersama selama hampir tiga tahun. Namun dengan baki tempoh kira-kira 24 bulan lagi, DAP dilihat seolah-olah menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan melalui kenyataan yang menyinggung perasaan rakan komponen.

“Hakikatnya, tindakan sebegini memberi gambaran bahawa DAP sedang menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan pada hari ini,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *