Hujan berterusan: Paras air sungai di Kelantan meningkat, penduduk diminta berwaspada

KOTA BHARU – Keadaan hujan yang berterusan di kawasan pedalaman Kelantan menyebabkan paras air beberapa sungai utama di negeri ini meningkat dan melepasi tahap waspada setakat jam 11.30 pagi tadi.

Berdasarkan maklumat daripada laman Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), aras air Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai, direkodkan pada 33.61 meter, iaitu 3.61m melepasi paras waspada, namun menunjukkan trend penurunan.

Sungai Galas di Chegar Lapan pula mencatatkan bacaan 33.02 meter, melebihi paras waspada sebanyak 1.02m dengan keadaan paras air kekal. Di Gua Musang, paras Sungai Galas di Limau Kasturi direkodkan pada 56.28 meter, iaitu 0.28m melepasi tahap waspada dan berada dalam keadaan stabil, dengan hujan renyai empat milimeter dilaporkan di kawasan tersebut.

Di jajahan Pasir Mas, Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan paras air 7.7 meter, melepasi paras waspada sebanyak 0.7m dan menunjukkan trend menurun. Sementara itu, Sungai Kelantan di Jambatan Tendong mencatatkan bacaan 4.78 meter, meningkat 0.78m melepasi paras waspada dan menunjukkan trend menaik.

Keadaan hampir sama dilaporkan di Tanah Merah apabila Sungai Kelantan di Kusial dan Kusial Baru masing-masing merekodkan bacaan 13.34m dan 13.56m, kedua-duanya melepasi paras waspada dengan trend tidak berubah.

Sungai Sokor di Kampung Sokor pula menunjukkan peningkatan apabila paras air direkodkan pada 19.9 meter, iaitu 1.9m melepasi tahap waspada dan masih menunjukkan trend menaik.

Di Machang, paras air Sungai Kelantan di Kampung Temangan mencatatkan bacaan 15.46m, melepasi paras waspada setinggi 1.46m dan berada dalam keadaan stabil.

Orang ramai, khususnya penduduk di kawasan berhampiran sungai, dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan memantau perkembangan semasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *