KOTA BHARU – Sebanyak 618 lokasi dikenal pasti berisiko banjir di Kelantan, dengan jajahan Pasir Mas merekodkan jumlah tertinggi iaitu 213 kawasan, termasuk penempatan di sepanjang Sungai Golok seperti Rantau Panjang dan Meranti.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, bagi menghadapi risiko banjir yang semakin meningkat, hampir 1,000 anggota telah digerakkan.
Katanya, pasukan itu melibatkan anggota bomba sukarela dan bomba komuniti, selain bantuan dari Terengganu (Wakaf Tapai), Kuala Lumpur dan Selangor.
Beliau mengingatkan penduduk di kawasan berisiko supaya berpindah lebih awal tanpa menunggu arahan rasmi serta mengelakkan melalui jalan yang ditenggelami air bagi mengurangkan risiko insiden tidak diingini.
“Situasi banjir di Kelantan kini beralih ke jajahan tengah susulan aliran air dari hulu dan hujan berterusan. Paras Sungai Golok di Rantau Panjang dijangka meningkat dan berisiko melimpah,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Banjir JBPM Tunjong.
Menurut beliau, banjir yang sebelum ini menjejaskan jajahan di kawasan pantai kini memberi kesan kepada Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Rantau Panjang.
Paras air turut menunjukkan peningkatan di dua sungai utama – Sungai Golok dan Sungai Galas di Limau Kasturi – yang kini berada pada tahap bahaya, sekali gus meningkatkan risiko limpahan.
“Sehingga semalam, JBPM telah melaksanakan 68 operasi pemindahan dan 91 pemantauan harian. Banjir kini tertumpu di jajahan tengah berikutan aliran air dari hulu dan taburan hujan yang tinggi, terutama di Tanah Merah,” jelasnya.
Farhan Sufyan menambah bahawa sekiranya hujan lebat berterusan, kebarangkalian berlakunya banjir di kawasan sepanjang Sungai Golok adalah sangat tinggi.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001