KUALA LUMPUR: Gelombang pembangunan pesat sektor pusat data dan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia menjadi pemangkin utama kepada lonjakan prestasi kewangan Saliran Group Bhd (Saliran) bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Pembekal paip dan produk keluli itu berjaya memanfaatkan permintaan tinggi terhadap komponen keluli khas yang menawarkan margin keuntungan lebih baik, terutama bagi penyediaan infrastruktur kritikal seperti pusat data, sistem keselamatan kebakaran dan projek solar.
Hasil daripada strategi penumpuan kepada sektor bernilai tinggi, Saliran merekodkan peningkatan Keuntungan Sebelum Cukai PBT sebanyak 180.99 peratus kepada RM6.80 juta berbanding suku sebelumnya.
Pengarah Urusan Saliran, Liaw Choon Wei dalam satu kenyataan berkata prestasi positif itu mencerminkan kekuatan pasaran teras syarikat dan kejayaan peningkatan penggunaan penyelesaian margin tinggi merentasi sektor kritikal berkenaan.
“Pertumbuhan hasil dan pemulihan margin yang konsisten turut menonjolkan keberkesanan strategi harga serta campuran produk yang dilaksanakan meskipun berdepan ketidakpastian makroekonomi.
“Secara keseluruhan, kumpulan itu mencatatkan hasil RM135.57 juta bagi suku dikaji, meningkat 16.53 peratus berbanding RM116.34 juta pada suku kedua, dipacu jumlah pesanan lebih tinggi daripada projek infrastruktur domestik.
“Operasi Saliran terus disokong oleh permintaan kukuh pelanggan tempatan, dengan jualan domestik menyumbang 92.21 peratus daripada jumlah hasil suku ketiga, meningkat daripada 77.51 peratus pada suku sebelumnya,” katanya.
Margin keuntungan kasar kumpulan turut berkembang daripada 8.40 peratus kepada 11.12 peratus hasil penetapan harga yang lebih baik serta peningkatan penghantaran produk untuk pembinaan bangunan dan infrastruktur tenaga boleh diperbaharui.
Dalam usaha mengukuhkan kedudukan masa depan, Saliran memeterai Memorandum Persefahaman dengan Maoming Port Group Co. Ltd dari China dan PCA Group Sdn Bhd bagi membangunkan keupayaan teknikal bersama dalam rantaian bekalan minyak dan gas.
Kerjasama itu memberi tumpuan kepada penapisan rendah karbon, pembangunan kilang pintar serta peningkatan kapasiti melalui penyelidikan dan pembangunan serta pertukaran latihan.
Syarikat itu turut komited melaksanakan pelan pengembangan pasca-IPO dengan menggunakan RM12.27 juta daripada hasil penyenaraian untuk modal kerja, manakala baki dana akan digunakan bagi penubuhan pejabat jualan di Indonesia serta pembelian jentera.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001