Tambahan masa dua minggu kepada 19 penduduk Kampung Jawa kosongkan tanah bina WCE – Exco

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor bersetuju memberikan tambahan masa selama dua minggu bermula hari ini hingga 24 November kepada 19 penduduk Kampung Jawa, Klang yang terlibat dalam arahan mengosongkan tanah masing-masing bagi kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, surat rasmi penangguhan telah diserahkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Klang bagi tujuan itu, dengan keputusan dibuat mengambil kira keperluan penduduk untuk menguruskan pemindahan masing-masing.

“Namun, saya hendak ingatkan selepas ini tiada lagi masa tambahan yang akan diberi kerana projek ini bukan sahaja bakal memberi manfaat kepada rakyat Selangor, tetapi juga Malaysia secara keseluruhan.

“Projek perlu diteruskan segera kerana sudah lama tertangguh,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, semua penduduk terlibat juga telah disediakan kemudahan kediaman sementara menerusi Skim SMART Sewa dan telah dibayar pampasan yang sesuai oleh pihak WCE.

Pada 3 November lalu, Borhan dilaporkan berkata, kerajaan negeri memberikan tempoh tujuh hari hingga 10 November hari ini kepada 19 penduduk terlibat untuk mengosongkan tanah masing-masing selepas dipersetujui dalam mesyuarat yang diadakan bersama penduduk terlibat serta agensi berkaitan, antaranya WCE dan Pejabat Tanah Galian Selangor serta pihak berkuasa tempatan.

Sebelum ini media melaporkan keengganan 19 pemilik tanah di Kampung Jawa mengosongkan kediaman melibatkan jajaran 150 meter menjadi punca utama projek Lebuhraya WCE yang kini lebih 90 peratus siap masih tergendala.

Lebuhraya WCE merupakan projek infrastruktur utama negara melibatkan rangkaian sepanjang 233 kilometer yang dirancang bagi menghubungkan Banting, Selangor ke Taiping, Perak serta turut berfungsi sebagai laluan alternatif ke Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bagi mengurangkan kesesakan. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *