PUTRAJAYA – Sekretariat Orang Melayu (SOM) bertekad untuk meneruskan agenda ‘Payung Besar’ sebagai platform penyatuan kepimpinan Melayu dalam usaha memperkukuh kedudukan politik dan memperjuangkan nasib bangsa menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Setiausahanya, Datuk Wira Marzuki Yahya berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi SOM kali pertama yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, petang semalam, setelah mengambil kira pelbagai pandangan dan cadangan daripada ahli-ahli jawatankuasa.
“Mesyuarat sebulat suara bersetuju untuk meneruskan agenda Payung Besar bersama semua kepimpinan yang ada. Kita mahu memastikan perpaduan Melayu terus diperkukuh dan perjuangan bangsa ini dapat diteruskan secara tersusun serta berstrategi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mesyuarat turut memutuskan untuk mengadakan satu konvensyen dalam masa terdekat bagi menerangkan perkembangan semasa serta hala tuju perjuangan SOM kepada rakyat, khususnya dalam memastikan orang Melayu kembali memainkan peranan utama dalam pentadbiran negara.
Tun Dr. Mahathir Mohamad akan bertindak sebagai Pengerusi dan Penasihat SOM, manakala Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Pengerusi dan Penasihat Bersama.

Marzuki menjelaskan, walaupun terdapat cadangan untuk mendaftarkan SOM secara rasmi, mesyuarat bersetuju untuk tidak meneruskan proses pendaftaran tersebut kerana dijangka tidak mendapat kelulusan.
Sebaliknya, kata beliau, SOM akan bergerak sebagai Sekretariat Orang Melayu tanpa pendaftaran rasmi, bagi memastikan pelaksanaan agenda dapat dijalankan dengan lebih fleksibel dan berkesan.
“Buat masa ini, tumpuan utama kita adalah kepada penganjuran konvensyen yang akan dikendalikan oleh Tan Sri Noh Omar bersama beberapa kepimpinan lain. Tarikh dan lokasi konvensyen akan diumumkan dalam masa terdekat,” ujarnya.
Mesyuarat turut bersetuju, usaha pengukuhan perpaduan Melayu akan terus digerakkan melalui pendekatan inklusif yang melibatkan semua lapisan kepimpinan dan masyarakat Melayu di seluruh negara.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001