SHAH ALAM – Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Muhammad Faiz Fadzil menyelar kegagalan Pas menamakan calon Perdana Menteri dari parti itu walaupun telah seminggu berlalu sejak berakhir Muktamar Pas ke-71.
Menurut beliau, penolakan secara tersirat oleh Pas terhadap pencalonan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN) jelas menunjukkan berlaku perpecahan serius dalam gabungan tersebut.
“Ucapan para perwakilan dan pimpinan Pas ketika muktamar lalu memperlihatkan penentangan terbuka terhadap pencalonan Muhyiddin. Ini isyarat jelas PN sedang berdepan krisis dalaman,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Katanya, perpecahan dalaman PN membuktikan gabungan itu tidak mempunyai kesepaduan yang diperlukan untuk memimpin negara.
“Tanpa perpaduan yang kukuh, kestabilan politik sukar dicapai. Rakyat sudah muak dengan episod ketidaktentuan seperti yang berlaku semasa ‘Langkah Sheraton’. Malaysia memerlukan kerajaan stabil dan PN tidak mampu menjanjikannya,” tegas beliau.
Sebaliknya, Muhammad Faiz menegaskan, gabungan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menunjukkan kestabilan dan pencapaian positif dalam pelbagai aspek, terutama ekonomi.
Antara pencapaian ekonomi yang diketengahkan termasuk pengukuhan nilai ringgit sebanyak 6% berbanding dolar Amerika, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 4.4% bagi separuh pertama 2025, pelaburan diluluskan melonjak 18.7% kepada RM190.3 bilion, mewujudkan hampir 90,000 peluang pekerjaan, inflasi kekal rendah pada purata 1.4% dan kadar pengangguran menurun kepada 3% pada suku kedua 2025.
Dalam kenyataan sama, Muhammad Faiz turut memuji ketokohan Anwar di peringkat antarabangsa, termasuk peranannya dalam memediasi konflik ASEAN dan usaha konsisten membela rakyat Palestin di pentas global.
Sementara itu, beliau turut menyindir kenyataan beberapa pimpinan Pas yang sebelum ini mendakwa mempunyai “tiga hingga empat lori” calon Perdana Menteri, tetapi masih gagal menamakan calon rasmi parti tersebut.
“Ini bukan sahaja memperlekehkan institusi Perdana Menteri, malah menunjukkan sikap angkuh dan kosong,” katanya.
Beliau juga menyifatkan kegagalan Pas menamakan calon Perdana Menteri sebagai tanda bahawa tiada calon yang disepakati bukan sahaja dalam PN, malah di kalangan pimpinan Pas sendiri.
Menyentuh soal pentingnya jawatan Perdana Menteri, Faiz menjelaskan, institusi Perdana Menteri adalah tunggak utama dalam pembentukan kerajaan, sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
“Tanpa pelantikan Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong, kerajaan tidak dapat dibentuk. Ini menunjukkan betapa pentingnya kedudukan Perdana Menteri dalam struktur pentadbiran negara,” ujarnya.
Beliau mengakhiri kenyataan dengan menegaskan, sikap tidak serius Pas dalam isu pencalonan Perdana Menteri mencerminkan kegagalan parti itu memahami keutamaan pentadbiran dalam Islam serta tanggungjawab terhadap tadbir urus negara. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001