Pendapat Undang-Undang CLJ mengenai kes arwah Zara Qairina

Oleh: Nadia Abd. Aziz

Bahagian 1: Kelemahan Siasatan dan Keperluan Pemantauan Bebas

KAMI, Concerned Lawyers for Justice (CLJ), menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap perkembangan terkini kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, khususnya dari aspek kelemahan siasatan dan potensi konflik kepentingan dalam pentadbiran eksekutif.

Melalui laporan media bertarikh 5 Ogos 2025, pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memulangkan kertas siasatan berhubung kematian adik Zara Qairina ini kepada polis sambil ditegaskan sendiri oleh Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa kes ini adalah berprofil tinggi.

Kenyataan sedemikian secara tidak langsung mencetuskan spekulasi awam mengenai penglibatan individu berpengaruh.

Kenyataan berikutnya oleh Saifuddin Nasution dalam sidang Parlimen pada 18 Ogos 2025, menafikan penglibatan anak VVIP kerana walaupun nama ayah dan datuknya sama kerana menurut beliau, anak VVIP itu telah berhenti sekolah pada November 2024 yang lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar dalam sidang media pada 13 Ogos 2025, sendiri mengesahkan tiada penglibatan anak-anak VVIP walaupun siasatan masih berjalan dan proses inkues akan dilaksanakan.

Percanggahan ini boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap konsistensi dan kesungguhan pihak berkuasa dalam mengendalikan siasatan.

Menteri KDN itu juga telah menggunakan frasa “Statement of Facts” atau “Kenyataan Fakta” ketika membahaskan kronologi kematian arwah adik Zara Qairina.

Kami berpendapat, fakta-fakta yang disebut oleh Saifuddin Nasution itu diambil daripada hasil siasatan polis yang tidak lagi menyeluruh, tercemar dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penyiasatan yang ditetapkan oleh undang-undang.

Setakat ini, tiada kenyataan daripada mana-mana pihak berkuasa terutama JSJ Bukit Aman bahawa penyiasatan secara forensik yang berbentuk crime scene investigation (CSI) telah dijalankan di tempat kejadian.

Polis hanya mengesahkan ketidakpatuhan prosedur post-mortem jenazah adik Zara Qairina pada peringkat awal yang wajib diuruskan oleh pegawai penyiasat terlibat.

Daripada pemerhatian yang CLJ jalankan dalam melihat kepada keseluruhan perjalanan kes ini sejak awal, tiada laporan atau gambar-gambar tersebar di media utama menunjukkan prosedur Forensik CSI telah dijalankan di SMKA Tun Datu Mustapha tersebut.

Tiada perimeter kawalan yang jelas dipasang di sekitar kawasan sekolah yang menjadi lokasi kejadian.

Ketiadaan yellow tape membenarkan akses orang awam, guru, pelajar dan pihak ketiga tanpa kawalan, lalu meningkatkan risiko pencemaran bukti.

Seluruh kawasan sekolah tidak dikategorikan sebagai “restricted area” walaupun berstatus lokasi jenayah. Sekolah sepatutnya ditutup sementara, dengan kawalan ketat di semua pintu masuk keluar.

Kelemahan ini bercanggah dengan keperluan scene preservation di bawah IGSO Crime Scene Management PDRM (IGSO bermaksud “the Inspector General of Police’s Standing Order yang dibuat di bawah Seksyen 97 Akta Polis 1967.

Kegagalan atau kelewatan Forensik CSI ini boleh menyebabkan bukti paling kritikal boleh hilang dalam jam-jam awal. Lebih membimbangkan, prosedur chain of custody iaitu proses yang menjamin bahan bukti kekal sah, bersih dan tidak disalahguna didapati tidak dipatuhi secara ketat.

Mana-mana kegagalan mencatatkan tarikh, masa, identiti pegawai perampas, serta laluan bukti yang dipegang boleh mengakibatkan keraguan serius terhadap kebolehterimaan bukti di mahkamah (rujuk Akta Keterangan 1950, Seksyen 64–65).

Tambahan pula, Standard Operating Procedure (SOP) polis seperti yang termaktub dalam IGSO Crime Scene Management jelas menuntut perlindungan menyeluruh terhadap integriti bahan bukti sejak dari lokasi hingga ke makmal forensik.

Kegagalan ini bukan sahaja melemahkan prospek pendakwaan jenayah, malah berpotensi menafikan keadilan kepada arwah dan keluarganya.

Banyak kes menunjukkan pengumpulan sampel dilakukan oleh pegawai penyiasat biasa, bukan anggota Unit Forensik Khas atau Crime Scene Investigation Unit (‘CSIU’).

Contoh: Dalam kes Abdul Aziz bin Lela v Public Prosecutor [2011] 5 MLJ 750 (CA), Mahkamah Rayuan menolak kebolehterimaan bukti DNA kerana pegawai penyiasat gagal membuktikan prosedur pengumpulan, pembungkusan dan penyimpanan bukti dijalankan dengan betul.

Risiko pencemaran silang (cross-contamination) dianggap wujud, menyebabkan analisis DNA tidak boleh dipercayai.

CLJ menzahirkan kebimbangan, konflik kepentingan nyata (apparent conflict of interest) wujud apabila Saifuddin Nasution menerima pingat kebesaran daripada Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah hanya beberapa hari sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan kes arwah Zara Qairina di Parlimen.

Kedudukan ini telah menimbulkan persepsi di kalangan orang awam bahawa beliau tidak bebas dalam memberikan pandangan mengenai siasatan kematian arwah adik Zara Qairina yang mana spekulasi mengenai penglibatan anak-anak VVIP bertebaran.

Prinsip undang-undang umum mengiktiraf bahawa “justice must not only be done, but must also be seen to be done”. Apabila seorang menteri kabinet menerima anugerah kehormatan daripada pihak yang berpotensi mempunyai kepentingan dalam siasatan, ia boleh dianggap sebagai conflict of interest dan menjejaskan keyakinan awam.

Dalam kes Tony Pua Kiam Wee v Dato’ Seri Najib Razak [2017] 4 CLJ 769, mahkamah menegaskan misfeasance in public office boleh terpakai terhadap pegawai awam yang bertindak dengan niat tidak wajar atau berada dalam keadaan konflik kepentingan yang jelas.

Dari aspek akauntabiliti kerajaan, ia bercanggah dengan prinsip good governance dan integrity di bawah Rukun Negara serta Konvensyen PBB Menentang Rasuah (UNCAC), yang Malaysia turut menjadi pihak kepada konvensyen itu.

Oleh yang demikian CLJ menuntut beberapa perkara seperti berikut:

a) Penubuhan RCI bagi menyiasat kelemahan SOP polis dan kemungkinan pengaruh luar;

b) Penerapan dasar conflict of interest disclosure untuk semua menteri, supaya sebarang penerimaan anugerah/pingat daripada negeri terlibat dalam kes tidak mengganggu integriti siasatan.

Kes adik Zara Qairina bukan sekadar kes jenayah biasa, tetapi menjadi ujian terhadap komitmen negara dalam melindungi kanak-kanak dan menjamin integriti institusi keadilan.

CLJ menegaskan hanya dengan ketelusan, konsistensi kenyataan pihak berautoriti dan penghormatan terhadap kedaulatan undang-undang, keadilan dapat ditegakkan.

“Keadilan untuk Zara Qairina adalah keadilan untuk semua kanak-kanak Malaysia”. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *