Muhyiddin diminta beri kerjasama siasatan kes 3R

Kes Zara Qairina, siasatan secara menyeluruh sejak hari pertama kejadian – Saifuddin

SHAH ALAM – Kerajaan sentiasa komited memastikan keselamatan rakyat dan ketenteraman awam dipelihara melalui tindakan yang telus, tegas dan berlandaskan undang-undang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam isu melibatkan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, siasatan telah dijalankan secara menyeluruh sejak hari pertama kejadian.

Sehingga hari ini, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil keterangan daripada 195 saksi, selain melaksanakan proses bedah siasat semula yang disaksikan sendiri oleh pihak keluarga, peguam dan pakar forensik.

“Inkues turut ditetapkan bermula 3 September ini sebagai sebahagian daripada usaha memastikan ketelusan dalam proses mencari kebenaran dan menegakkan keadilan.

“Saya ingin menegaskan, tuduhan bahawa kes ini cuba “ditutup” atau berlaku “cover up” adalah tidak benar.

“Setiap langkah siasatan yang dijalankan PDRM telah mematuhi saluran undang-undang serta prosedur operasi standard yang sah. Integriti siasatan sentiasa dipelihara tanpa sebarang kompromi,” katanya yang dipetik kenyataan menerusi Facebooknya.

Menurut Saifuddin Nasution, kerajaan juga menolak sebarang bentuk spekulasi, dakwaan tidak berasas atau cubaan untuk mempolitikkan isu berkenaan.

Ujar beliau, penyebaran maklumat palsu bukan sahaja menjejaskan keyakinan terhadap siasatan, malah boleh mengundang keresahan dan mengganggu ketenteraman awam.

“Prinsip keadilan dalam kes ini mestilah berlandaskan kepada fakta, bukti yang sahih serta proses undang-undang. Kerajaan bersama PDRM akan terus memastikan siasatan dilaksanakan secara profesional, adil dan menyeluruh.

“Kesedihan keluarga Allahyarhamah Zara dikongsi bersama seluruh rakyat Malaysia. Kerajaan berpegang kepada amanah untuk menegakkan kebenaran, memastikan keadilan ditegakkan dan keselamatan rakyat terus menjadi keutamaan,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *