KUALA LUMPUR – Rakaman suara berdurasi 44 saat memaparkan perbualan antara Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, dan ibunya, Noraidah Lamat, tular di media sosial baru-baru ini, memaparkan rasa takut yang dialami remaja itu terhadap seorang pelajar senior dikenali sebagai ‘Kak M’.
Memetik laporan Berita Harian, rakaman itu dipercayai dirakam beberapa hari sebelum kejadian yang membawa kepada kematian Zara di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu, selepas ditemui tidak sedarkan diri berhampiran asrama sekolah agama di Papar.
“Mak, Zara takut terjumpa Kak M.. dia masih lagi. Haritu Zara minta tolong ada orang ni kan, cuba ko tanyakan dekat adiknya, cuba kau tanyakan dekat si Kak M masih lagikah dia ada masalah dengan aku.
“Lepas itu, Kak M tu bilang, ‘iya aku masih lagi nda maafkan si Zara’, mak,” kata suara dalam rakaman itu.
Ibunya turut bertanya sama ada Zara sudah padam namanya yang dipercayai ditulis di ruangan dalam bilik Rekabentuk dan Teknologi (RBT), lalu dijawab Zara, “Mak, Zara sudah padam… lepas tu dibuatnya balik.”
Rakaman itu turut memaparkan kebimbangan Zara terhadap ancaman yang pernah diterimanya.
“Kalau aku touch touch kau ni, berdarah-darah kau ni… kalau dia buat, apa jadi?” katanya.
Peguam keluarga sahkan audio milik Zara
Peguam mewakili ibu Zara, Ismail Hamid dan Shahlan Jufri, dalam kenyataan bertarikh 1 Ogos lalu, mengesahkan suara dalam rakaman audio itu adalah milik Zara dan ibunya dan memaklumkan satu laporan polis tambahan dibuat di Balai Polis Sipitang berhubung perkara itu pada 30 Julai lalu.
Menurut kenyataan itu, Zara pernah memaklumkan bahawa beberapa pelajar senior sering mengganggunya, termasuk Kak M yang didakwa pernah mengugut dengan berkata, “kalau aku touch-touch kau ni, berdarah kau ni.”
Media semalam melaporkan, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, mengesahkan bahawa kertas siasatan kes kematian Zara Qairina telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), semalam.
Dalam kenyataan berasingan, AGC memaklumkan sudah menerima laporan penuh siasatan awal daripada polis di dua peringkat, iaitu pada 3 Ogos daripada Cawangan Sabah dan 4 Ogos di Ibu Pejabat Putrajaya.
AGC menjelaskan, pihaknya kini sedang meneliti laporan berkenaan secara menyeluruh dari segi undang-undang dan fakta sebelum membuat sebarang keputusan lanjut.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat kenyataan spekulatif yang boleh menjejaskan proses siasatan dan keadilan,” menurut kenyataan itu.
Zara ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah agama tempatnya belajar pada pagi 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital keesokan hari.
Kematian pelajar tingkatan satu itu mencetuskan perhatian meluas susulan dakwaan berlaku insiden buli melibatkan pelajar senior di sekolah berkenaan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001