China, Jepun alami cuaca luar jangka

BEIJING: China dan Jepun, kini berdepan keadaan cuaca melampau yang membimbangkan, mendorong pihak berkuasa mengambil langkah berjaga-jaga memeriksa sistem perparitan, kolam dan sungai.

Semalam, China memperbaharui amaran cuaca bagi ribut hujan dan suhu tinggi di seluruh negara, manakala Jepun merekodkan bulan Julai paling panas sejak 1898, disertai ramalan gelombang haba berpanjangan.

Pusat Meteorologi Kebangsaan China (NMC) mengeluarkan amaran kuning bagi ribut hujan di beberapa wilayah utama, termasuk Inner Mongolia, Beijing, Tianjin, Shanghai, Hebei, Shanxi, Heilongjiang, Jilin, Liaoning, Jiangsu, Zhejiang, Fujian, Anhui, Jiangxi, Guangdong, Guangxi, Yunnan dan Taiwan.

Hujan lebat dijangka berlaku dari 2 hingga 3 Ogos, dengan beberapa kawasan dijangka menerima lebih 70 milimeter (mm) hujan sejam disertai ribut petir dan angin kencang.

Pihak berkuasa tempatan digesa mengambil langkah berjaga-jaga dan memeriksa sistem saliran di kawasan bandar, tanah pertanian serta kolam ternakan ikan.

NMC juga mengeluarkan amaran kuning suhu tinggi dengan suhu antara 35 darjah Celisus hingga 39 darjah Celisus dijangka di beberapa wilayah termasuk utara China, Shaanxi dan Xinjiang, manakala beberapa kawasan seperti Sichuan dan Lembangan Turpan mungkin melebihi 40 darjah Celisus.

Orang ramai dinasihatkan lindungi diri dan elak terdedah kepada panas terik.

Di Jepun pula, Agensi Meteorologi Jepun melaporkan bahawa negara itu mengalami Julai paling panas dalam sejarah sejak 1898, dengan suhu purata meningkat 2.89 berbanding purata suhu bulanan antara 1991 hingga 2020.

Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut Jepun mencatat suhu purata bulanan tertinggi untuk Julai.

Pada 30 Julai, suhu tertinggi 41.2 darjah Celisus direkodkan di wilayah Hyogo, barat Jepun.

Agensi cuaca turut memberi amaran bahawa suhu tinggi ini dijangka berterusan pada Ogos, sekali gus meningkatkan risiko kepada kesihatan awam termasuk strok haba.

Pakar juga memberi amaran bahawa pokok sakura mula berbunga lebih awal akibat perubahan iklim yang semakin panas dan dalam sesetengah kes, tidak berbunga sepenuhnya kerana suhu musim luruh dan musim sejuk yang tidak cukup sejuk untuk mencetuskan proses pendebungaan.

Salji di puncak Gunung Fuji juga tidak kelihatan untuk tempoh paling lama pernah direkodkan pada tahun 2024 dan hanya muncul pada awal November berbanding purata biasa iaitu awal Oktober. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *