BUENA PARK: Serbuan agresif Jabatan Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE) di bawah pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, menyebabkan ramai warga asing tanpa dokumen berisiko jadi gelandangan.
Ia secara langsung menggugat kestabilan Los Angeles, yang dihuni ramai warga asing baik pendatang asing tanpa izin (PATI) atau migran, tanpa dokumen sah.
Sejak kembali berkuasa, Trump menunaikan janji untuk melancarkan operasi besar-besaran mengusir PATI, yang bukan sahaja menyasarkan golongan ini, tetapi turut menjerat ramai lagi dalam jaring penguatkuasaan.
Kini, ramai penduduk terpaksa bergelut untuk tidak hidup di jalanan di daerah Los Angeles, kawasan di mana harga rumah sangat tinggi dan memiliki penduduk gelandangan kedua tertinggi di AS selepas New York.
Los Angeles menyaksikan antara serbuan ICE paling dahsyat, apabila pasukan ejen bertopeng menyerbu kedai perkakasan, pusat cucian kereta dan perhentian bas secara serentak, dengan lebih 2,200 orang ditangkap pada Jun.
Menurut dokumen dalaman ICE yang dianalisis AFP, sekitar 60 peratus daripada mereka tiada rekod jenayah.
Pemimpin Demokrat tempatan cuba menyediakan bantuan kewangan kepada keluarga terjejas, dengan pihak berkuasa Los Angeles merancang mewujudkan dana khas manakala pegawai bandar akan melancarkan tabung yang dibiayai melalui derma amal, bukan wang pembayar cukai.
Beberapa keluarga dijangka menerima ‘beberapa ratus dolar’, kata Datuk Bandar Karen Bass bulan lalu.
Namun, inisiatif ini ‘tidak cukup’ untuk menampung keperluan sebenar, dengan nilai bantuan kurang daripada 10 peratus sewa kebanyakan keluarga.
Ramai menyeru satu ‘moratorium pengusiran’ seperti ketika awal pandemik COVID-19 diperkenalkan semula.
Jika tidak, gelandangan di Los Angeles, yang kini berjumlah 72,000 orang dan menurun sedikit dalam dua tahun kebelakangan, berisiko meningkat semula dengan ketara. – AFP
Telegram:https://t.me/nasionaldaily
Facebook:https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok:https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan:admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001