Tentera Thailand nafi layan tentera Kemboja tanpa perikemanusiaan

BANGKOK: Tentera Darat Diraja Thailand (RTA) menjemput badan antarabangsa untuk meninjau keadaan tentera Kemboja yang kini dalam tahanan mereka.

Antara yang dijemput termasuk Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC),

Langkah itu diambil menyusuli tuduhan dari Kemboja yang mendakwa Thailand melayan tenteranya secara tidak berperikemanusiaan, sebelum sebahagian daripada mereka dihantar pulang susulan perjanjian gencatan senjata baru-baru ini.

Semalam, Jurucakap RTA, Mejar Jeneral Winthai Suvaree, menolak dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai “tuduhan yang diputarbelitkan”.

“RTA mempunyai rancangan dan bersedia sepenuhnya untuk menjemput organisasi antarabangsa seperti ICRC untuk memerhati kebajikan tawanan perang yang ditahan,” katanya.

Jemputan ini, menurutnya, adalah langkah proaktif kerana memahami bahawa Kemboja mungkin cuba ‘memutarbelitkan isu ini bagi merosakkan kredibiliti RTA’.

Sehubungan itu, katanya, wakil daripada UNHCR dan ICRC dialu-alukan untuk menjalankan pemeriksaan melalui saluran undang-undang antarabangsa yang ditetapkan.

Beliau menjelaskan, walaupun gencatan senjata telah dilaksanakan secara mendadak, konflik bersenjata sebenarnya masih belum benar-benar tamat.

Oleh itu, di bawah undang-undang antarabangsa, penahanan sementara oleh pihak tentera masih dibenarkan mengikut Konvensyen Geneva dan segala prosedur Thailand adalah ‘sepenuhnya dalam kerangka’ konvensyen berkenaan, tegasnya.

Pihak Thailand, tambahnya, komited untuk melaksanakan semua operasinya mengikut undang-undang antarabangsa sepenuhnya. – AGENSI

Telegram:https://t.me/nasionaldaily

Facebook:https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok:https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan:admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *