Lelaki terselamat daripada tembakan selepas turunkan kerusi pemandu

BATU KAWAN – Lelaki yang terselamat dalam kejadian tembakan di hadapan sebuah sekolah rendah di Sungai Nyior, di sini Selasa lalu, sempat menurunkan sepenuhnya kerusi kenderaan dipandunya itu semasa kejadian.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pada awalnya, lelaki itu hanya menurunkan separuh kerusi pemandu sementara menunggu anaknya pulang dari sekolah.

“Menurut lelaki itu, dia nampak sebuah motosikal meluru ke arah kenderaannya dan terus menurunkan kerusi pemandu sehingga dalam keadaan baring, menyebabkan tembakan dilepaskan dua suspek tidak mengenai mangsa.

“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan kami tidak menolak kemungkinan mangsa mengenali dua lelaki yang melepaskan tembakan walaupun dia menafikan perkara itu,” katanya.

Beliau menjelaskan demikian ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Pasar Awam dan Pasar Penjaja di Bandar Cassia, Batu Kawan, di sini hari ini, yang dirasmikan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Mohd Alwi berkata, lelaki berusia 40-an itu adalah ahli perniagaan dan mempunyai empat rekod berkaitan jenayah.

Polis tidak menolak kemungkinan kejadian mempunyai kaitan dengan gengsterisme kerana siasatan mendapati lelaki itu ahli gengster sebelum ini, namun tidak lagi terbabit dengan kegiatan berkenaan.

“Polis Pulau Pinang juga menubuhkan pasukan khas bagi menjalankan siasatan terperinci kes itu termasuk usaha mengesan dua lelaki yang melepaskan tembakan,” katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Beliau turut memberikan jaminan walaupun berlaku di hadapan sekolah, keadaan adalah selamat dan polis juga meningkatkan kawalan keselamatan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *