KEJADIAN anak gajah dilanggar sebuah lori kontena di Jalan Jeli – Gerik awal pagi semalam, meruntun hati sesiapa sahaja yang menyaksi dan mendengarnya, walaupun tragedi itu melibatkan haiwan.
Sikap si ibu cuba menolak lori kontena untuk menyelamatkan anaknya yang tersepit bawah perut kenderaan itu, menambahkan lagi rasa sebak sesiapa melihatnya.
Atas rasa empati dan cuba menyelami apa yang dirasai haiwan yang ada otak, tetapi tidak ada akal ini, ramai netizen mencipta karya puitis yang menyentuh jiwa dan perasaan.
Berikut karya-karya yang sempat Nasionaldaily rakam : –
Hampir 2 tahun menanti anak… kini tiada lagi
Orang tak tahu ibu gajah mengandung hampir 2 tahun. Bukan 2 bulan. Bukan 20 minggu. 22 bulan. Hampir 2 tahun bawa anak dalam perut.
Bayangkan, selama tu dia jaga, dia sayang, dia bawa ke mana-mana. Tak pernah tinggal. Tak pernah lari.
Sebab tu bila anak dia mati, hatinya juga ikut mati. Ibu dia berdiri di tepi. Dia tolak lori. Dia tunggu anak bangun. Dia tak faham kenapa anak dia tak bergerak.
Orang lalu-lalang tengok. Ada yang ambil gambar. Hancurnya hati ibu gajah tu. – lyalazim
Kasih Ibu gajah
Dia meraung tapi tak mampu bersuara
Dia terluka tapi tak berdarah
Dia mahukan anaknya tapi dia terlupa , anaknya telah tiada
Dia sedih tapi tak menunjukkan sedihnya namun airmata adalah bukti hatinya sedang berduka .
Tapi Ibu Gajah tunjukkan rasa sayang pada anaknya dengan cara
Ibu gajah tetap tunggu anaknya sampai terbit matahari
Ibu gajah cuba alihkan lori walaupun tak termampu
Ibu gajah tak berganjak meninggalkan anaknya
Jika diceritakan satu persatu , kasih sayang ibu gajah terhadap anaknya tidak mencukupi selembar kertas .
Dan yang sedihnya , tanpa ubat pelali juga sudah pasti ibu gajah kehilangan dirinya , kehilangan jiwanya , separuh nyawanya telah ikut pergi bersama anaknya . Iaitu Adik. – Awg. Khairul Awang Kanis
Menjunjung Kasih dan Memohon Perkenan
Dengan penuh takzim dan hormat, patik merafak sembah ke hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang, dan Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang.
Patik dengan rendah diri memohon limpah perkenan Kebawah Duli Tuanku untuk mencadangkan agar seekor ibu gajah yang kehilangan anaknya akibat kemalangan jalan raya di Gerik, Perak, dibawa ke Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, Pahang.
Tujuan cadangan ini adalah bagi membolehkan pemantauan rapi terhadap tahap kesihatan dan kesejahteraan gajah berkenaan dijalankan oleh pihak pakar, sebelum dilepaskan semula ke habitat asalnya di hutan secara berperingkat.
Sesungguhnya, keprihatinan Tuanku terhadap pemuliharaan hidupan liar sentiasa menjadi inspirasi dan panduan kepada usaha pemuliharaan negara.
Patik sekalian menjunjung kasih atas perhatian dan limpah perkenan Tuanku. – Tam Razmin

Kasih sayang ibu tiada sempadan
sanggup ia berjaga malam menunggu siang dengan harapan agar anaknya diselamatkan,
Kasih ibu tiada sempadan
Sanggup berlapar rela tak makan, agar anaknya yang kenyang
Kasih ibu tiada sempadan
Relakan sakit daripada anaknya demam
Kasih ibu tiada sempadan. – Sulaiman Ab. Rahman
2025 Hari Ibu terpaling bersejarah
Seekor anak gajah maut berdarah;
Kasih sayang ibu sememangnya lumrah
Mengenangkan jasamu airmata tercurah. – Anuar Alias
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001