Baldatun Thauuibatun gagal dilaksanakan Pas di Kelantan

Syahir Tidak Namakan Presiden Pas Calon PM Isyarat Keretakan PN

26/02/2025:

KUALA LUMPUR – Kenyataan Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman bahawa teknokrat boleh diangkat sebagai calon Perdana Menteri adalah pandangan yang sangat mengecewakan.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, Perdana Menteri adalah orang politik dan sesebuah kerajaan dibentuk atas kuasa politik.

Oleh itu, kata beliau, tokoh politik utama atau ketua parti sangat penting untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri bagi menjamin kestabilan sesebuah kerajaan.

Ujarnya, pelantikan Perdana Menteri kesembilan (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) yang bukan ketua parti telah menyebabkan ketidakstabilan politik, seterusnya kerajaaan tidak berfungsi dengan baik.

“Adapun PM8 (Tan Sri Muhyiddin Yassin) ketika menjadi PM, politik juga tidak stabil kerana mendapat kuasa secara haram mengikut amalan demokrasi tulen dan kaedah ‘scheme of things’ gagal dan dia hilang kuasa kerana ketidakstabilan politik.

“Akibatnya, kerajaan gagal menguruskan ekonomi dengan baik.

“(Datuk Seri) Anwar Ibrahim pula menjadi PM10 setelah mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen yang mengikut kaedah demokrasi tulen. Sebab itu politik Malaysia stabil hari ini (lebih dua tahun). Apabila kita berpolitik mengikut undang-undang, maka kestabilan itu akan wujud dan kerajaan berfungsi dengan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, media lidah pembangkang melaporkan, Syahir menolak pandangan tiada individu yang layak menggantikan Anwar sebagai pemimpin utama negara. 

Beliau menegaskan, Malaysia mempunyai ramai tokoh politik, teknokrat dan diplomat berwibawa yang boleh mengisi jawatan Perdana Menteri ke-11 (PM11) serta seterusnya. 

“Tidaklah sukar untuk sesiapa menjadi PM11, setelah kita menyaksikan PM10 merendahkan kriteria (lowered the bar) sebagai Perdana Menteri – bercakap kosong, berjanji manis, hasilnya tiada. Indah khabar dari rupa,” kata Syahir dalam satu kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, Faiz yang juga Pengerusi Amanah Pulau Pinang menjelaskan, untuk menjadi Perdana Menteri, sokongan majoriti Ahli Parlimen adalah ambang (treshold) asas mengikut Perkara 43 (2) Perlembagaan Persekutuan.

“Maka, apabila Syahir tidak menamakan Presiden Pas sebagai calon PM, dia sedar presidennya itu tidak mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen dari parti koalisi lain (PN) walaupun Pas mempunyai lebih ramai Ahli Parlimen. Ini adalah isyarat keretakan sedang berlaku dalam PN.

“Ini juga menunjukkan PN bukan sebuah koalisi yang kukuh dan stabil, dan oleh itu amat merbahaya untuk membentuk kerajaan kerana diancam ketidakstabilan.

“Ketidakstabilan politik akan memberi kesan kepada pentadbiran kerajaan. Tidak logik untuk Pas memilih ketua parti Bersatu untuk menjadi PM, sedangkan ketua parti Pas seorang Ahli Parlimen dan tokoh ulama terkenal. Adakah Pas tidak lagi mengangkat agenda kepimpinan ulama?,” soal beliau.

Berbalik kepada calon PM, kata beliau, berdasarkan merit peribadi, ketokohan dan kebijaksanaan Anwar telah terbukti dengan kemantapan ekonomi negara serta pengiktirafan kuasa luar kepada Malaysia hari ini.

Justeru, ujarnya lagi, tidak ragu Almarhum Fadzil Noor (mantan Presiden Pas) berani mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *