Titah Adendum: Takiyuddin, 3 Ahli Parlimen mohon jadi peguam pemerhati

Titah Adendum: Takiyuddin, 3 Ahli Parlimen mohon jadi peguam pemerhati

PUTRAJAYA – Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberitahu Mahkamah Rayuan hari ini beliau bersama tiga lagi Ahli Parlimen memohon untuk menjadi peguam pemerhati bagi kes rayuan Datuk Seri Najib Razak untuk memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung Titah Adendum hari ini.

Takiyuddin yang juga peguam berkata, dia mewakili Ahli Parlimen Malaysia bersama tiga lagi rakannya iaitu Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin, Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Naib Presiden BERSATU Datuk Seri Ronald Kiandee memohon untuk hadir ke prosiding hari ini.

“Perkara ini dibangkitkan secara serius dalam Parlimen Malaysia khusus Dewan Rakyat pada 10 Disember 2024.

“Ketika Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) mengenai titah adendum, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) berkata beliau tidak boleh menjelaskan isu ini di Parlimen atas alasan subjudis.

“Cadangan yang kami faham daripada kerajaan ialah untuk kami datang (ke mahkamah) untuk memahami isu ini, kami memohon untuk menjadi pemerhati dalam prosiding ini,” katanya.

Prosiding hari ini akan didengar panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Azizah Nawawi, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril.

Najib, 72, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Julai tahun lalu yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Najib mendakwa Titah Adendum itu akan membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong tuntutannya termasuk kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak boleh diterima kerana ia khabar angin semata-mata.

Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari tahun lalu.

Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonannya.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga memohon perintah, jika titah itu wujud, maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *