Oleh: Abdul Ghaffar Daud
KOTA BHARU – Seorang Pembantu Tadbir (PT) sebuah sekolah maahad di Rantau Panjang meminta Yayasan Islam Kelantan (YIK) menyegerakan mengisi kekosongan jawatan Pembantu Operasi (PO).
PT Nazirah Md. Yusoff berkata, selepas PO di Maahad Muhammadi Rantau Panjang (MMRP) bersara wajib baru-baru ini, beliau terpaksa menggalas dua tugas iaitu PT dan PO.
“Saya harap YIK dapat segerakan pelantikan baharu Pembantu Operasi bagi meringankan tugas saya yang terpaksa mengambil alih kerja PO untuk sementara waktu.
“Saya berterima kasih kepada mantan PO sebelum ini yang secara sukarela datang ke MMRP untuk membantu saya, demi memastikan kerja-kerja di pejabat sekolah tidak tertangguh,” katanya kepada NasionalDaily di sini, hari ini.
Menurut Nazirah, berikutan memangku tugas PO, beliau terpaksa berulang alik dari MMRP ke Kompleks Pentadbiran YIK di Tunjong, Kota Bharu.
Katanya, banyak masa dihabiskan dengan menjalani tugas di pejabat sekolah kerana jawatan PO belum diisi penjawat baharu.
“Hari ini, saya berurusan di Unit Kewangan, Sumber Manusia, Pembangunan, Kurikulum dan Bahagian Sekolah di Kompleks YIK, Tunjong. Ia sangat memenatkan.
“Mujur mantan PO MMRP yang juga suami saya sanggup menemani hingga selesai berurusan di unit-unit tersebut,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252