Oleh: Azrol Mansor
SEJAK mutakhir ini, kita lihat perkembangan politik semasa dalam negara berada dalam keadaan amat membimbangkan kerana perpecahan yang sedang berlaku kini seolah tidak dapat dibendung atau diubati lagi.
Sebagai rakyat Malaysia yang mewakili generasi muda, saya juga mendapati pemimpin Melayu yang berlainan ideologi politik sedang rancak melancarkan serangan politik kepada parti-parti politik Melayu yang lain.
Kaedahnya, mereka mengimbau kembali mana-mana kesilapan yang dilakukan pemimpin terdahulu, lebih 20 tahun lalu untuk didakwa ke muka pengadilan, kononnya pemimpin terbabit telah melakukan penyalahgunaan kuasa.
Justeru, bagi menggelakkan perkara ini terus berlaku, yang boleh menggugatkan kesejahteraan umat Melayu di negara ini, pemimpin parti-parti politik Melayu baik UMNO, Pas mahupun Bersatu seharusnya mengambil satu ketetapan untuk duduk berbincang bagi memulihkan kembali peranan politik Melayu yang sedia ada.
Mereka juga harus bersikap terbuka dalam menerima pendapat dari akar umbi demi mengekalkan kuasa politik Melayu.
Tahu atau tidak, sedar atau tidak, politik Melayu masa kini memerlukan satu perubahan dan nafas baharu serta idea yang segar sekiranya ingin menarik sokongan golongan anak muda untuk memilih tampuk pemerintahan negara dalam pilihan raya umum akan datang.
Rakyat Malaysia sudah jemu dan bosan dengan pelbagai persepsi parti-parti politik yang ada hari ini. Mereka berharap agar pemimpin Melayu dapat duduk bersama mencari jalan penyelesaian segala permasalahan yang membelenggu orang Melayu tanpa mengira warna parti politik.
Parti-parti politik Melayu seharusnya mengenengahkan idea baharu dalam membentuk generasi muda yang akan menjadi pelapis kepimpinan negara satu hari nanti.
Bagi anak muda yang lebih terdedah dengan media hari ini, mengharapkan satu momentum atau gerakan yang baharu bagi membina negara tercinta tanpa melakukan serangan pada parti politik Melayu yang lain. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252