Young Tigress belasah Bangladesh 6-1

Young Tigress belasah Bangladesh 6-1

KUALA LUMPUR: Skuad hoki remaja wanita negara menghidupkan peluang untuk melangkah ke peringkat kalah mati Piala Remaja Asia di Muscat, Oman selepas menewaskan Bangladesh 6-1, malam tadi.

Dalam perlawanan ketiga peringkat Kumpulan A di Stadium Hoki Oman itu, skuad kendalian Lailin Abu Hassan jelas tampil dengan persembahan lebih menyakinkan selepas dimalukan juara bertahan India 5-0, Isnin lalu.

Sedar hanya kemenangan mampu membuka peluang untuk mara, Young Tigress tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan seawal minit kelapan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Zati Alyani Muhammad Zubir.

Tersentak dengan jaringan itu, Bangladesh yang dibimbing Zahid Hossain mengemaskan corak permainan namun gawang mereka hanya bertahan sehingga penghujung suku kedua sebalum ia sekali lagi dirobek Zati Alyani juga menerusi pukulan sudut penalti.

Zati Alyani terus membuktikan ketajamannya di depan gawang apabila meledak gol ketiga peribadinya kali ini menerusi jaringan padang pada minit ke-41.

Kealpaan Bangladesh terus dihukum apabila gawang mereka sekali lagi bocor tiga minit berselang menerusi jaringan padang Nur Iman Adawiyah Mohd Suhaimi.

Kedudukan kemudian menjadi 5-0 seminit kemudian apabila Nurshamine Azureen Mohammed Badusha meletakkan namanya dalam senarai penjaring gol pada minit ke-45.

Bangladesh bangkit dengan pukulan sudut penalti yang disempurnakan Orpita Pal pada minit ke-49 sebelum Young Tigress melengkapkan kemenangan menerusi jaringan padang Noor Asyiqin Syakirah Noor Hisyam pada minit ke-53.

Selepas tiga perlawanan, Malaysia ketika ini menghuni tangga ketiga carta Kumpulan A apabila mengumpul enam mata daripada tiga perlawanan dan dijadual mengharungi aksi sukar menentang satu lagi pasukan pilihan, China malam ini.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *