KUALA LUMPUR – Go Hub Capital Berhad (Go Hub) penyedia penyelesaian teknologi maklumat (IT) pengangkutan utama, mengumumkan keputusan kewangannya bagi suku ketiga berakhir 30 September 2024 (S3 TK2024) dengan merekodkan hasil RM9.89 juta.
Segmen penyelesaian IT pengangkutannya menyumbang 80.42 peratus daripada jumlah hasil, manakala Keuntungan Selepas Cukai (PAT) meningkat sebanyak 21.59 peratus kepada RM1.07 juta berbanding suku sebelumnya (S2 TK2024) dengan mengambil kira baki perbelanjaan penyenaraian sekali sahaja sebanyak RM1.28 juta berikutan penyenaraian Syarikat di Bursa Malaysia Securities Berhad pada 3 Julai 2024.
Pada S3 TK2024, syarikat mencapai Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) sebanyak RM1.30 juta dan PAT sebanyak RM1.07 juta.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Go Hub, Tan Cherng Thong berkata, keputusan suku ketiga 2024 menyerlahkan kekuatan dan daya tahan model perniagaan syarikat.
“Walaupun kesan daripada perbelanjaan penyenaraian sekali sahaja pada suku ini, kami mencapai pertumbuhan dalam margin keuntungan kasar, menunjukkan kecekapan operasi dan keupayaan untuk menyampaikan nilai kepada pemegang kepentingan kami.
“Kemajuan ini menekankan komitmen kami untuk mengekalkan asas kewangan yang kukuh sambil memacu inovasi dalam sektor pengangkutan awam,” katanya di sini hari ini.
Memandang ke hadapan, Go Hub berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong usaha Malaysia meningkatkan sistem pengangkutan awam sambil mengurangkan kos sara hidup rakyat Malaysia seperti digariskan dalam Belanjawan Malaysia 2025 yang diumumkan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, dengan RM750 juta diperuntukkan untuk inisiatif pengangkutan awam, termasuk subsidi My50 dan Mutiara Pas serta penambahbaikan infrastruktur seperti subsidi Tren Tidak Ekonomik (TTE) dan subsidi perkhidmatan udara luar bandar, tumpuan kerajaan terhadap peningkatan akses dan ketersambungan di seluruh negara sejajar dengan Go Hub misi untuk pengalaman pengangkutan awam yang lancar di Malaysia.
Dengan memanfaatkan kepakarannya dalam penyelesaian IT yang disesuaikan dan merancang untuk menubuhkan pusat bersepadu baharu di Lembah Klang, Go Hub bersedia memacu inovasi, menyelaraskan operasi dan meningkatkan pengalaman berulang-alik untuk komuniti bandar dan luar bandar. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252