Amanah harap Trump kota janji isu konflik di Timur Tengah – Dr. Mujahid

KUALA LUMPUR – Kemenangan Donald J. Trump sebagai Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS) ke-47 baru-baru ini sudah pasti bakal menyaksikan kesan perubahan kepada hubungan luar Amerika.

Sehubungan itu, Parti Amanah Negara (Amanah) berharap Trump akan memberi perhatian langsung terhadap dasar luar dan hubungan antarabangsa yang lebih progresif, dinamik dan berhenti daripada mengamalkan sikap unilateral dalam menangani krisis global yang meruncing termasuk perubahan iklim.

Timbalan Presidennya, Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, Trump juga hendaklah mengotakan janji pilihanraya mengenai isu konflik di Timur Tengah melibatkan perang Israel ke atas Palestin (Gaza), Lubnan dan Syria serta mencegah potensi perang ke atas Iran.

“Jika Presiden terpilih Donald Trump berupaya melakukan satu tindakan radikal menamatkan konflik keganasan Israel ini, ia merupakan langkah besar untuk meredakan ketegangan geopolitik di rantau bergolak Asia Barat.

“Amanah juga berharap Trump akan terus memastikan imbangan kuasa bagi menjamin rantau Asia Pasifik terus aman, stabil dan makmur di sebalik ketegangan hubungan dagangan AS-China.

“Saya turut yakin Malaysia yang akan mempengerusikan Asean 2025 di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyuarakan kepentingan negara-negara Asean untuk terus menjalin kerjasama erat dengan AS di bawah Trump,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Rabu lalu, Pilihan Raya Presiden AS 2024 memperlihatkan kemenangan berpihak kepada Trump, calon Parti Republikan (GOP), apabila melepasi 270 undi badan perwakilan pemilih yang diperlukan untuk memenangi pilihan raya tersebut.

Trump menewaskan pencabarnya dari parti Demokrat, Kamala Harris dengan memperoleh 277 undi perwakilan dan mengesahkan kedudukannya sebagai Presiden AS ke-47.

Keputusan itu sekali gus melayakkannya kembali semula ke Rumah Putih selepas empat tahun meninggalkan pejabat tersebut. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *