IPOH – Seorang pemandu dan penumpang lori tangki maut apabila kenderaan yang mereka naiki terbabas di Kilometer 263.2, Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, dekat sini, semalam.
Penumpang berumur 38 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi manakala pemandu berusia 34 tahun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Ahmad berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 11.40 pagi ketika lori berkenaan dari arah Trong menuju ke Johor.
“Apabila sampai di tempat kejadian, lori berkenaan dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas melanggar pembahagi jalan sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.
Menurutnya, kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis meminta saksi kejadian untuk menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Syafiq Fauze di Bahagian Siasatan dan Pengkuatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 013-6713177 tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Polis juga menasihatkan orang ramai supaya memandu secara berhemah dan sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan diri dan semua pengguna jalan raya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252