Mas Ermieyati Ketua Srikandi BERSATU yang baharu, ganti Rina Harun

Mas Ermieyati Ketua Srikandi BERSATU yang baharu, ganti Rina Harun

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dipilih Ketua Srikandi BERSATU bagi menggantikan bekas Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Rina sebelum ini menarik diri dari bertanding pada pemilihan BERSATU kali ini, dengan undian perwakilan daripada 181 sayap bahagian parti itu berlangsung pada Sabtu lalu.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) BERSATU, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi pada sidang media di ibu pejabat BERSATU di sini hari ini.

Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi pula dipilih Naib Srikandi BERSATU selepas dua jawatan tertinggi sayap itu diumum menang tanpa bertanding.

Sementara itu, bagi pemilihan peringkat Srikandi Muda BERSATU, Nurul Ezzati Azmi dipilih ketua sayap itu, manakala Nabila Norshahar dipilih sebagai naib ketua.

Abdul Azmi berkata, sebanyak 181 bahagian daripada kedua-dua sayap BERSATU itu berjaya menjalankan persidangan pada Sabtu dan dihadiri oleh 6,852 perwakilan.

“JPP Pusat bukan hanya sekadar memuktamadkan penjumlahan undi calon, tetapi juga memastikan tatacara pemilihan dipatuhi dan prosedur pengundian serta pengiraan undi dijalankan dengan tertib dan teratur dalam persidangan dua sayap ini di seluruh negara.

“JPP sudah meneliti aduan dan bantahan diterima berkaitan pemilihan yang berlangsung dan sudah membuat keputusan sewajarnya mengikut bidang kuasa dimiliki JPP,” katanya.

JPP BERSATU dalam kenyataan semalam mengesahkan sudah menerima keputusan pemilihan jawatankuasa dari 296 persidangan Srikandi Bahagian, ARMADA bahagian dan Srikandi Muda Bahagian di seluruh negara.

Bulan lalu, JPP turut memaklumkan 46 pencalonan bagi jawatankuasa Srikandi, 53 calon ARMADA, 39 calon Srikandi Muda dan 27 calon Sayap Bersekutu Malaysia yang layak bertanding.

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *