WASHINGTON – Imej satelit komersial menunjukkan bahawa bangunan yang musnah dalam serangan udara Israel semalam adalah kemudahan Iran untuk mencampur bahan bakar pepejal bagi peluru berpandu balistiknya, menurut penilaian berasingan penyelidik Amerika Syarikat (AS).
Penilaian itu dibuat oleh bekas pemeriksa senjata Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), David Albright, yang mengetuai kumpulan penyelidikan Institut Sains dan Keselamatan Antarabangsa dan Decker Eveleth, seorang penganalisis penyelidikan di CNA, sebuah badan pemikir di Washington.
Mereka secara berasingan berkata, Israel menyerang Parchin, sebuah kompleks ketenteraan besar dekat Tehran selain menyerang Khojir, sebuah tapak pengeluaran peluru berpandu yang luas berhampiran Tehran.
Menurut Eveleth, serangan Israel mungkin secara ketara menjejaskan kemampuan Iran untuk menghasilkan peluru berpandu secara besar-besaran.
“Imej dari Planet Labs, sebuah firma satelit komersial, menunjukkan bahawa serangan Israel menghancurkan dua bangunan di Khojir di mana bahan bakar pepejal untuk peluru berpandu balistik dihasilkan.
“Imej itu juga menunjukkan bahawa Israel menghancurkan tiga bangunan diguna untuk mencampurkan bahan bakar pepejal peluru berpandu balistik dan sebuah gudang di Parchin.
“Industri ini sukar untuk dibangunkan dan dikawal eksportnya di mana Iran membinanya selama bertahun-tahun dengan kos yang besar, dan mungkin sukar untuk segera menggantikannya,” katanya.
Sementara itu, tentera Israel berkata, serangan terhadap kilang peluru berpandu dan lokasi lain berhampiran Tehran dan di barat Iran pada awal pagi semalam sebagai tindak balas kepada serangan Tehran pada 1 Oktober,mnembak lebih 200 peluru berpandu terhadap Israel.
Bagaimanapun, tentera Iran menyatakan bahawa pesawat perang Israel menggunakan ‘peledak yang sangat ringan’ untuk menyerang sistem radar sempadan di wilayah Ilam, Khuzestan dan sekitar Tehran.
Sementara itu, Albright berkata, bangunan yang musnah terletak kira-kira 350 meter dari sebuah kemudahan yang pernah terbabit dalam apa yang dikatakan oleh badan pemerhati nuklear PBB, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan perisikan AS sebagai program pembangunan senjata nuklear komprehensif, yang ditutup Iran pada 2003, tetapi dinafikan Iran.
“Dengan operasi yang terhad, tindakan Israel memberikan tamparan hebat terhadap kemampuan Iran untuk menghasilkan peluru berpandu secara besar-besaran dan menyukarkan sebarang serangan peluru berpandu Iran pada masa depan untuk menembusi pertahanan peluru berpandu Israel.
“Serangan itu nampaknya sangat tepat,” katanya.
Iran mempunyai simpanan senjata peluru berpandu terbesar di Asia Barat dan membekalkan peluru berpandu kepada Russia untuk digunakan terhadap Ukraine, serta kepada pejuang Hamas di Gaza, pemberontak Houthi di Yamen dan Hizbullah di Lubnan, menurut pegawai AS.
Bagaimanapun, Tehran dan Moscow menafikan bahawa Russia menerima peluru berpandu Iran.
Imej Planet Labs yang ditinjau awal tahun ini oleh Eveleth dan Jeffrey Lewis dari Institut Pengajian Antarabangsa Middlebury di Middlebury menunjukkan pengembangan besar di Khojir dan kompleks tentera Modarres berhampiran Tehran.
Mereka menilainya sebagai usaha untuk meningkatkan pengeluaran peluru berpandu. Tiga pegawai kanan Iran mengesahkan perkara itu. – REUTERS
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252