LONDON – Bos Manchester City, Pep Guardiola menggesa pemain mengetuai perjuangan bagi perubahan dalam perdebatan hangat mengenai bahaya disebabkan pertambahan jadual perlawanan ketika pengurus Bayern Munich, Vincent Kompany meminta siling bagi perlawanan diperkenalkan.
Pemain tengah City, Rodri baru-baru ini mencadangkan pemain supaya mengadakan mogok dalam usaha menyekat peningkatan dramatik jumlah perlawanan dalam kalendar yang sudah padat.
Dengan pusingan pertama Liga Juara-Juara kini menampilkan tambahan dua perlawanan dan Piala Dunia Kelab yang diperbesarkan pada hujung musim ini, juara Liga Perdana Inggeris kendalian Guardiola mungkin beraksi maksimum 76 perlawanan sepanjang kempen musim 2024-25.
Pemain ternama turut berdepan perlawanan antarabangsa dalam jadual mereka.
Kesatuan pemain global FIFPro berkata sebelum ini pemain bola sepak patut bermain maksimum 50 hingga 60 perlawanan semusim, bergantung kepada usia mereka.
Penjaga gol Liverpool, Alisson Becker turut menyertai perdebatan itu apabila menyatakan pemain tidak diberi peluang bersuara oleh pihak berkuasa sukan itu untuk melahirkan kebimbangan mereka.
Ketika perdebatan memuncak, Guardiola berkata pemain mempunyai kuasa untuk mencetus perubahan kerana sukan itu tidak boleh dilangsungkan tanpa mereka.
“Saya amat yakin jika sesuatu perlukan perubahan, ia mesti hadir daripada pemain,” katanya.
“Mereka satu-satunya yang boleh mengubah sesuatu mengenai organisasi, untuk meluahkan pendapat.
“Sukan ini boleh diadakan tanpa pengurus, pengarah sukan, media, pemilik tetapi tanpa pemain anda tidak boleh beraksi. Satu-satunya dengan kuasa untuk melakukannya adalah mereka.”
Chelsea kendalian Enzo Maresca, seperti City, akan menyertai Piala Dunia Kelab di Amerika Syarikat pada ketika pemain sepatutnya berehat dan bercuti.
Warga Itali itu membayangkan mogok adalah tindakan yang wajar untuk menangani masalah itu.
Ditanya sama ada terlalu banyak perlawanan dalam kalendar semasa, Maresca berkata: “Ya, tidak ragu-ragu lagi. Dari segi perlawanan, ia terlalu banyak.
“Saya tidak fikir kami boleh melindungi pemain. Kami boleh menyatakan apa yang kami fikirkan dan bagi saya, jumlah perlawanan yang kami akan hadapi adalah salah.”
Kompany berkata, satu siling patut diperkenalkan mengenai jumlah perlawanan yang boleh diharungi setiap pemain semusim manakala jurulatih Bayer Leverkusen, Xabi Alonso berkata pemain mesti terbabit dalam memutuskan kalendar tahunan.
“Untuk bermain 75, 80 perlawanan, ia sudah tiba pada satu tahap tidak realistik lagi,” kata Kompany semalam.
“Jalan penyelesaian yang sering saya mahukan adalah menetapkan siling bagi jumlah perlawanan seseorang pemain boleh beraksi sebagai individu. Tetapkan siling, tetapkan tempoh wajib berehat (bagi pemain).” – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252