Lelaki ditahan dipercayai cuba bunuh isteri

Lelaki ditahan dipercayai cuba bunuh isteri

GERIK – Polis menahan seorang lelaki, selepas dipercayai cuba membunuh isterinya dengan cara menolak hingga jatuh gaung dalam kejadian berhampiran KM31.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, maklumat kejadian diterima jam 2 petang pada hari sama melalui panggilan telefon oleh orang awam yang memaklumkan penemuan mangsa iaitu seorang wanita berusia 32 tahun yang didapati keseorangan, selain mengalami kecederaan di kawasan itu.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek berusia 39 tahun yang juga suami mangsa membawanya dari ibu kota menuju Perak atas alasan mahu pulang ke kampung kira-kira jam 5. 30 petang Jumaat lalu.

Bagaimanapun, katanya, sepanjang perjalanan itu berlaku pertengkaran mulut antara kedua-dua mereka yang turut membawa kepada mangsa dikasari, selain diugut bunuh oleh suaminya itu.

“Sepanjang perjalanan, pertengkaran mulut berlaku antara mereka. Apabila sudah malam setibanya di satu tempat, suspek memberhentikan kereta dan bertindak mengugut mahu membunuh mangsa menggunakan sebilah pisau dan turut mencekik leher mangsa.

“Mangsa bertindak keluar dari kereta, tetapi suspek memaksa isterinya itu masuk semula dan terus memecut kereta hingga ke KM31.2 JRTB kira-kira jam antara 4 hingga 5 pagi. Setibanya di kawasan itu, berlaku lagi pertengkaran mulut antara mereka.

“Suspek kemudiannya menarik mangsa keluar dari kereta dan berlaku pergaduhan serta pergelutan di bahu jalan. Suspek kemudiannya bertindak menolak mangsa sehingga jatuh ke dalam gaung,” katanya dipetik BHNews menerusi kenyataan hari ini.

Zulkifli berkata, siasatan lanjut mendapati mangsa bertindak menyelamatkan diri dengan merangkak naik ke bahu jalan sebelum dijumpai oleh orang awam yang lalu menghubungi polis dan kemudiannya mangsa dibawa oleh ambulans ke Unit Kecemasan Hospital Gerik untuk diberi rawatan awal.

“Pemeriksaan awal oleh pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami kesan calar, luka serta lebam pada tubuh badan dan kini menerima rawatan di Hospital Taiping,” katanya.

Beliau berkata, suspek ditangkap semalam oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, Kedah kerana terdapat pembabitannya dalam kes yang berlaku di daerah pentadbiran IPD berkenaan.

“Suspek juga mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952; Akta Kesalahan Kecil; dan Kanun Keseksaan.

“Sejurus siasatan kes di Baling selesai, suspek akan ditangkap semula oleh pihak IPD Gerik untuk melengkapkan siasatan kes cubaan membunuh,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *