PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menetapkan 18 September ini tarikh baharu sebutan semula kes ke atas ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin yang didakwa mengabaikan kanak-kanak austisme itu, Disember lalu.
Hakim Syahliza Warnoh menetapkan tarikh itu bagi serahan laporan bedah siasat dan rakaman litar kamera tertutup (CCTV).
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar memaklumkan mahkamah, pihaknya masih lagi menunggu kedua-dua laporan itu.
“Pendakwaan belum menerima kedua-dua laporan itu, jadi saya mohon satu tarikh baharu untuk serahan dokumen,” katanya di sini, pada Jumaat.
Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Fahmi Moin.
Pada 28 Jun lalu, ibu dan bapa Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berkenaan dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak itu.
Zaim Ikhwan dan Ismanira, masing-masing berusia 29 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan, 6, mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal, lapor Astro Awani.
Pada 6 Disember tahun lalu, mayat anak kandung mereka itu ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Sementara itu, mahkamah turut dimaklumkan nama Zayn Rayyan Abdul Matiin telah ditukar kepada Zayn Rayyan Zaim Ikhwan.
Dalam prosiding Fahmi menyerahkan dokumen sijil kelahiran yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Sehubungan itu, pihak pembelaan memohon nama kanak-kanak itu dipindakan dalam kertas pertuduhan. “Kami menerima cabutan daripada pihak JPN melalui anak guam kami pada 4 Julai lalu, satu keputusan pembetulan dalam sijil kelahiran telah dikeluarkan JPN Selangor, di mana anak kepada pasangan Zaim Ikhwan dan Ismanira telah dibetulkan. “Cabutan tersebut telah disahkan dengan sijil kelahiran, di mana catatan nama penuh arwah Zayn Rayyan adalah Zayn Rayyan bin Zaim Ikhwan,” katanya. Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar mengesahkan menerima dokumen itu. “Memandangkan saya baru saja terima (salinan sijil kelahiran) pagi tadi jadi saya mohon mahkamah menetapkan tarikh akan datang untuk pindaan nama itu,” katanya. Dalam pada itu, Syahliza mengarahkan pasukan pendakwaan untuk menyemak kesahihan dokumen itu dengan JPN sebelum prosiding akan datang. Peguam pemerhati dari Majlis Peguam, Vivek Sukumaran dan Jason Wee turut hadir pada prosiding hari ini. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252