BEIJING – Sekurang-kurangnya 20 orang terkorban dan berpuluh-puluh yang lain dilaporkan hilang apabila banjir kilat melanda utara dan barat daya China.
Banjir kilat berlaku selepas hujan lebat turun selama seminggu di seluruh negara.
Beberapa kenderaan di wilayah Shaanxi jatuh ke dalam sungai, selepas sebuah jambatan runtuh dan mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang dan lebih 30 lain hilang.
Siasatan awal menunjukkan 17 kereta dan lapan trak jatuh ke dalam sungai di bandar Shangluo.
Rakaman di televisyen kerajaan menunjukkan sebahagian jambatan tenggelam dengan sungai.
Seorang saksi memberitahu media tempatan beliau menghampiri jambatan tetapi pemandu lain mula “menjerit kepada saya untuk brek dan memberhentikan kereta”.
“Sebuah trak di hadapan saya tidak berhenti dan terjatuh ke dalam air,” katanya.
Presiden China, Xi Jinping mengerahkan usaha menyelamat dan bantuan untuk mencari mereka yang masih hilang, kata Xinhua.
Sementara itu, di wilayah Sichuan lebih 30 orang dilaporkan hilang selepas ribut petir menyebabkan banjir kilat di bandar Ya’an, menurut Xinhua.
Lapan mayat ditemui setakat petang semalam, manakala empat orang diselamatkan tanpa kecederaan serius, tambahnya.
Jumaat lalu, media kerajaan melaporkan sekurang-kurangnya lima orang maut dan lapan hilang selepas hujan mencetuskan banjir dan tanah runtuh di bandar Baoji di Shaanxi.
Televisyen negeri menyiarkan imej kawasan kejiranan yang dibanjiri lumpur dengan jengkaut dan penduduk cuba membersihkan kerosakan. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252