Siri Ke-18: Pergaulan dengan Mak Bonda

Siri Ke-18: Pergaulan dengan Mak Bonda

HIDUP ini penuh dengan misteri, hanya Allah SWT sahaja tahu apa yang berlaku. Manusia biasa tidak dapat menduga apa yang akan terjadi kepada dirinya. Bertawakal kepada Allah SWT adalah sebaik-baiknya.

Itulah yang terjadi kepada Kak Lah. Sepanjang hidupnya, ketentuan Allah SWT sentiasa melingkari hidupnya. Mimpi-mimpi yang dialaminya sentiasa menjadi kebetulan dan realiti kehidupan.

Bertemu dengan Mak Bonda

Pada suatu hari, sekitar tahun 1996, Kak Lah telah dijemput untuk menghadiri majlis Maulud Nabi anjuran YM Raja Hussein, seorang guru silat Bintang Tiga. Dalam majlis itu, Kak Lah menyampaikan sekeping cek sumbangan kepada YM Raja Hussein bagi pihak Dr. Halim yang ketika itu belum menjadi suaminya. YM Raja Hussein adalah kerabat diraja Kelantan.

Dalam majlis yang diadakan di Kampung Sering, Bachok itu, Kak Lah terpandang akan seorang perempuan tua memakai cermin mata hitam, bertudung kuning, berselipar Jepun. Raja Hussein memperkenalkan perempuan itu kepada Kak Lah.

Kemudian Kak Lah dibawa duduk bersama dengan perempuan tua itu di atas pentas bertingkat-tingkat. Selesai majlis itu, Kak Lah dibawa pula melawat sebuah bilik yang didalamnya terdapat sebuah replika mahkota. Replika itu sama seperti yang dilihat Kak Lah dalam mimpinya sebelum ini.

Replika itu seperti lambang yang digunakan oleh Kak Lah dalam logo Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang pada hari ini. Kak Lah merasa hairan dengan keadaan itu. Ini kerana sebelum ini dalam mimpinya, Kak Lah telah bertemu dengan perempuan tersebut. Kak Lah telah menunggang seekor kuda terbang boraq warna putih dan turun ke sebuah rumah tradisional yang sangat cantik sekali binaan dan warnanya.

Sewaktu Kak Lah masuk ke sebuah ruang yang besar, kelihatan seorang wanita tua sedang berbaring di atas tikar mengkuang dengan dikelilingi 40 panglima wanita yang sedang bertasbih “Laillahhailallah”. Seorang lelaki tua yang menamakan dirinya Ayah Wo, dengan perlahan mengejutkan wanita tua itu.

Katanya, “Tuanku Raja, tuan puteri mari dah”. Wanita tua itu lalu bangun dan berkata, “Oh cucu saktiku sampai dah”. Kak Lah lalu tersedar dari tidurnya.

Raja Hussein memperkenalkan Kak Lah kepada perempuan tua itu yang dipanggil “Mok” (Mak). Wanita itu terus berkata, “Aku dah tahu dah, aku dah buat solat hajat lima hari lima malam. Perempuan yang aku nak jumpa itu ada kat Kelantan. Ni aku turun ni”.

Anehnya mimpi Kak Lah bertemu dengan Mak Bonda itu dan solat hajat Mak Bonda berlaku pada masa sama. Ini yang menghairankan Kak Lah. Namun, Kak Lah membiarkan sahaja persoalan di kepalanya yang cuba mencari jawapan siapakah wanita tua itu. Bagaimanakah mimpinya ini menjadi satu kenyataan.

Selesai sahaja majlis itu, Mak Bonda mengajak Kak Lah ke rumahnya di Gunung, Bachok. Menurut Mak Bonda, rumah itu telah dibina oleh arwah Tengku Faizal, seorang kerabat diraja Kelantan dan memberikan kepadanya. Dia tinggal bersama seorang wanita tua yang dipanggil Mek dan suaminya, Ayah Jak.

Kak Lah pergi ke rumah Mak Bonda sekali lagi pada esok hari bersama adiknya, Azhar. Setibanya di sana, beliau dapati Mak Bonda yang berkemban duduk bermain daun terup; gayanya sangat profesional, seperti telah sebati dengan dirinya. Pada saat itu juga, Kak Lah mula sangsi dengan wanita itu. Apakah dia seorang wanita budiman?

Bagaimanapun, dalam masa yang sama juga ditemuinya dalam mimpinya pada tahun 1993. Ketika itu, Kak Lah bermimpi dibawa naik ke atas sebuah bukit yang besar dan tinggi. Terdapat sebuah istana yang cantik. Kak Lah dibawa melawat kubur raja-raja yang lama dan kubur Wali Songo. Seorang perempuan tua telah bertanya kepadanya, “kamu ambil air sembahyang dari mata air di tebing bukit itu”. Kak Lah menurut sahaja.

Selepas mengambil wuduk, perempuan itu bertanya kepada Kak Lah sekali lagi. Katanya, “Mu nok kenal mok mu sapo?”. Kak Lah kata, “Nok lah”. Dia lalu menunjukkan sekuntum bunga di tebing bukit itu. Kak Lah melihat sekuntum bunga Seroja berwarna emas bersinar menyuluh terang di seluruh tubuh Kak Lah. Kak Lah berkata, “Oh bunga”.

Kak Lah lalu disuruh bersembahyang di atas sebuah batu pejal yang rata. Kak Lah mengikut sahaja. Di kawasan itu juga terdapat banyak kubur lama yang bersaiz panjang.

Kak Lah hanya menyedari mimpi itu sebagai kisah nyata pada hari ini, apabila di situlah Mak Bomba kemudian dikebumikan setelah kematiannya pada 13 Februari 2000. Ketika melawat kubur Mak Bonda seminggu selepas kematiannya, Kak Lah melihat kawasan itu penuh dengan kubur lama beraneka bentuk batu nisan.

Batu nisan lama hanya menggunakan batu bulat atau pipih yang tidak berukir. Batu rata tempat Kak Lah bersembahyang juga terdapat di bahagian tengah kawasan itu dan agak jauh sedikit dari kubur Mak Bonda. Tempat atau kawasan perkuburan yang dilihat dalam mimpinya pada tahun 1993 itu kini menjadi kenyataan pada tahun 2000.

Kawasan perkuburan itu dikenal sebagai kubur Bukit Kechik, Bachok. Apakah Mak Bonda jelmaan masa lepas? Apakah, Mak Bonda jelmaan Cik Siti Wan Kembang?

Dalam perbualan dengan Mak Bonda pada hari itu (tahun 1996), Kak Lah beritahu yang dia pernah berjumpa dengan Mak Bonda dalam mimpi. Dengan pandangan mata yang sangat tajam, Mak Bonda berhenti bermain daun terup dan berkata, “Esok pagi sebelum matahari terbit, datang bawa bunga sembilan jenis dan limau purut sembilan biji dan sehelai kain batik, nak mandimu,” katanya dengan suara yang sangat tegas dan garang. Kak Lah tidak berani bertanya lanjut. Takut diherdik pula.

Pada hari berikutnya, Kak Lah pergi semula ke rumah Mak Bonda bersama ibunya membawa barang-barang yang dipesan. Mak Bonda membawa Kak Lah ke sebuah telaga (Telaga Putri Biru) di pinggir gunung. Di situ, Kak Lah berjumpa dengan Ayah Wo yang menjaga telaga sebagaimana dalam mimpinya sebelum itu.

Dalam perjalanan ke telaga itu, Mak Bonda berhenti di hadapan sebatang pokok kelapa. Dia berkata, “Tengok pokok kepala ini, engkau jangan jolok buahnya nanti jatuh atas kepala. Biar ia jatuh sendiri di atas riba”. Kak Lah hanya mendiamkan diri tanda setuju dengan arahan Mak Bonda itu.

Kak Lah telah dimandikan oleh Mak Bonda dengan beralaskan kain kuning bersama ibunya, Mek Jah. Tiba-tiba Mak Bonda nampak bunga yang dimasukkan ke dalam baldi membentuk perkataan Halim (dalam tulisan Jawi).

Mak Bonda bertanya kepada Kak Lah, “Siapakah Halim? Mek Jah jawab, saing (kawan) dialah (Kak Lah). Mak Bonda terus menjawab, “Nikah pagi bercerai petang. Jangan panjangkan perkahwinan itu”. Dia lalu mendongak ke langit dan berkata, “Nasib baik jodoh hak mu, kalau hak aku lah, nikah pagi cerai petang”. Mak Bonda dah nampak dalam firasatnya, Kak Lah akan merana kerana perangai Halim. Bagi Kak Lah pula, Halim adalah jelmaan Raja Abdullah, yang tidak setia pada cintanya.

Ketika mandi itu juga, Mak Bonda berkata, “Kalau benar kamu berdarah raja, kamu akan bertemu dengan keturunan Syed Kuning dan berkain kuning. Payah nak kawal budak ni”. Mek Jah terus jawab, “Ambo tak reti pegho dia (hamba tak pandai pelihara dia)”. Mak Bonda menjawab, “Mu tolong beranok kat aku, (Mek) Jah”. Selepas itu mereka naik ke rumah dan Kak Lah diberi sebiji permata merah. Permata itu kemudian hilang diambil orang. Kak Lah merelakannya, bukan rezekinya lagi.

Sebulan kemudian, Kak Lah pergi ke Kuala Lumpur sempena cuti sekolah dengan menaiki kereta Perodua Kancil WEL7461, kereta kesayangan Kak Lah. Sebaik sampai di rumah adiknya, Che Dah di Jalan Mentari off Jalan Cochrane, Kak Lah menunaikan solat Asar.

Ketika mengangkat takbir, Kak Lah mendengar suara memanggilnya “Balik Kelantan”. Suara itu ialah suara Mak Bonda. Selepas solat, Kak Lah terus balik ke Kelantan, walaupun ditegah oleh adiknya. Setibanya di rumah Mak Bonda pada jam 7 pagi, Kak Lah terus bertanya mengapa panggil dia balik? Mak Bonda yang sedang duduk bersila sebagai seorang raja, tetapi rambutnya mengerbang, terus ketawa berdekah-dekah sambil berkata, “Oh, telinga mu tak pekak ya? Aku telefon mu pakai siku ni, mu dengar ya? Mu tak pekak ya? Oh! baka pendeta ilmu bangsawan”. Kata Mak Bonda. Kak Lah hanya memandang kosong kepada Mak Bonda. Dia tidak dapat berbuat apa-apa dengan Mak Bonda.

Mak Bonda terus meminta Kak Lah membawa 11 biji limau purut, 11 jenis bunga dan tujuh meter kain putih untuk memandikan Kak Lah kali kedua. Ini adalah untuk mengesahkan jurai keturunan raja kepada Kak Lah. Apabila dapat dibuktikan Kak Lah itu keturunan raja, Mak Bonda telah meminta disediakan sekaki payung memandikan Kak Lah.

Lengkaplah syarat untuk Kak Lah mewarisi ilmunya, iaitu ilmu pusaka Mak Bonda Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang sebagai pewaris terakhir.

Ceritera Mak Bonda

Sejak itu Kak Lah sentiasa berulang alik ke rumah Mak Bonda sehingga mereka berdua begitu rapat seperti seorang ibu dan anak. Mak Bonda telah mencurahkan segala rahsia hidupnya, di samping menurunkan ilmu-ilmu kehidupan yang dilaluinya.

Dari sinilah pengakuan Mak Bonda bahawa kehidupannya adalah kisah perjalanan hidup Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang, yang tidak putus-putus menegakkan kehidupan yang bermaruah dan tabah bagi seorang wanita yang teraniaya.

Mak Bonda menceritakan kepada Kak Lah, beliau pernah merantau ke seluruh Alam Melayu, berpindah randah. Pelbagai warna dan corak kehidupan dilaluinya. Beliau sering dihina dan dikeji dalam pengembaraannya mencari dan memilih seorang pengganti yang bertanggungjawab, jujur dan amanah untuk meneruskan ilmunya.

Mak Bonda pernah dikenali dengan gelaran Mek Senget, gara-gara berjalan agak tingkot kerana kakinya yang terseliuh tidak dapat sembuh walaupun dalam masa yang lama, menyebabkan dia tidak dapat berjalan dengan betul. Selain itu, ada juga yang memanggilnya Ibu, Wan, Mok dan Mak Bonda sebagai tanda kasih sayang kepadanya.

Mak Bonda mempunyai ramai anak angkat yang dijumpainya dalam usaha mencari keturunan yang hilang dan mengumpul kembali keturunannya. Dia juga sentiasa mencari pengganti yang boleh meneruskan ilmu pusakanya. Sewaktu menetap di Kuantan, Pahang, hajatnya dimakbulkan Allah SWT. Dalam pandangannya, pengganti itu berada di Kelantan. Maka, pulanglah Mak Bonda ke Kelantan iaitu di Kampung Aril dan di Gunung, Bachok.

Di rumah Mak Bonda, Kak Lah terpandang sebuah gambar rumah lukisan tangan yang tergantung pada dinding. Kak Lah teringat akan mimpinya sebelum ini yang berlaku pada awal tahun 1996, iaitu sebelum berjumpa Mak Bonda. Kak Lah mimpi berjumpa dengan seorang wanita tua yang sudah uzur. Di sekelilingnya terdapat 40 hulubalang perempuan yang sedang berzikir.

Perempuan itu berkata, “Dah penat dah”. Di sebelahnya kelihatan seorang lelaki tua, berjanggut putih iaitu pengasuhnya berketurunan Cina berkata, “Tuanku Raja, Tuanku Puteri sudah datang”. Maka perempuan tua itu bangun lalu memeluk Kak Lah. Kak Lah terus tersedar dari mimpinya. Kak Lah telah mengejutkan ibunya dan menceritakan mimpi itu.

Ibunya hanya berdiam diri. Ayah Hussin yang ketika itu lumpuh akibat strok, hanya memandang kosong pada Kak Lah. Mungkin dia telah biasa mendengar cerita mengenai mimpi Kak Lah sebelum ini. Dia menganggapnya sebagai perkara biasa bagi Kak Lah.

Mak Bonda pernah bercerita kepada Kak Lah, dia sebenarnya dari kurun 1300 Masihi dan umur dia 830 tahun dan dilahirkan pada kurun ke-12. “Tak ada siapa yang percaya aku masih hidup… aku hidup lama tak payah cakaplah, semua ilmu aku ada di dunia, kecuali satu saja, aku tak dapat menahan Malaikat Maut datang untuk bawa aku pulang ke pangkuan Allah SWT”.

Kak Lah bertanyakan siapa Mak Bonda sebenarnya? Kerana Mak Bonda kata datang dari kurun 1300 Masihi dan umur Mak Bonda 830 tahun, dan kenapa Mak Bonda tidak mati? Mak Bonda jawab, “Sebenarnya Hang Tuah itu adalah aku. Amalan aku makan bunga Seroja sakti. Aku ibarat mati hidup semula. Nampak mustahil, tetapi bukan donggeng.

Mak Bonda pernah bercerita kepada Kak Lah, “dulu aku tidak sukar untuk bergerak dan melakukan sesuatu perkara”. Di sinilah perjuangannya bermula. Beliau mahu mendapat sepasang tangan seperti manusia lain. Beliau mengambil masa yang lama dan menggunakan pelbagai daya usaha bermohon kepada dewa-dewa untuk mendapat kesempurnaan anggota tubuhnya.

Dia telah bertafakur mencari petunjuk dan bermunajat dari satu agama ke satu agama untuk mendapatkan sepasang tangan. Akhirnya, dia bermunajat kepada Allah SWT agar diberikan tangan supaya boleh menjaga keamanan bumi sejagat. Hidayah Islam itu telah menyempurnakan kehendaknya. Dia telah diberikan satu doa untuk diamalkan.

Setelah berdoa hampir puluhan tahun, permintaannya dimakbulkan. Dia telah dianugerahkan sepasang tangan. Dia berasa terkejut dan bersyukur kepada Allah SWT, kerana apa yang selama ini tidak dapat melakukan telah dapat dilakukannya dengan sempurna. Dia berasa sangat bahagia sekali. Dengan pemberian itu, dia sangat percaya kepada Islam dan mendokongnya sebagai agamanya yang digunakan sebagai landasan perjuangan hidupnya. Katanya kepada Kak Lah:

“Aku dulu berjalan jauh, mendalami satu agama demi satu agama dalam usaha hendak mendapatkan sepasang tangan. Sehinggalah aku berjumpa dan mendalami agama Islam. Agama yang cukup senang dan halus”. Katanya lagi, “Tuhan ni pemurahlah pula, aku minta tangan macam orang lain, tetapi aku dapat sepasang tangan dengan 11 jari. Tu yang aku potong satu. Tengok ni, kesannya masih ada lagi”.

Selepas beliau mula memahami apa itu sebenarnya Islam, secara tersirat dan tersurat, beliau ingin menyampaikan ilmu ketuhanan ini kepada seluruh rakyat. Mak Bonda pernah menceritakan, beliau pernah menyembunyikan diri dengan duduk bersendirian di Kota Gelanggi, Jerantut, Pahang untuk mendalami ilmu agama secara bersuluk selama 65 tahun.

Daripada penceritaan Mak Bonda kepada Kak Lah, Mak Bonda telah bertekad untuk menjadi rakyat biasa dengan menyamar menggunakan pelbagai nama dan mengembara membawa diri sehingga ke India, Jepun, China, Turki dan banyak lagi negara nusantara. Sebanyak 60 negara semuanya. Katanya kepada Kak Lah:

“Dahulu hidup aku banyak dugaan, rintangan dan cabaran. Jauh aku berjalan dan lamanya aku bertapa. Tapi tak ada siapa yang boleh mewarisi ilmu aku yang tunggal, panas. Aku ni pahlawan, aku ni srikandi. Aku tidak dapat menemui seorang wanita pun yang mampu mewarisi ilmu kepimpinan agama asal usul kejadian manusia”. – NasionalDaily

Bersambung

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *