DALAM kehidupan Kak Lah terdapat pelbagai pengalaman pekerjaan yang telah diceburi. Perniagaan pertama Kak Lah ialah di Dusun Muda, Kota Bharu, Kelantan. Beliau berniaga kecil-kecilan dengan menjual air krim lidi. Dari kecil beliau telah mempunyai sikap berdikari dan pandai mencari sumber pendapatan tanpa menyusahkan ibu bapanya.
Pada umurnya tujuh tahun, kehidupannya telah ber[indah ke Tumpat dan di situ beliau turut berniaga menjual pisang goreng. Kemudian keluarganya berpindah di Kampung Langgar, Kota Bharu dan beliau bersekolah di Sekolah Kebangsaan Langgar.
Di situ juga Kak Lah membantu ibunya menjaja jualan tersebut. Kehidupannya penuh dengan berpindah randah dan beliau pandai menyesuaikan diri untuk mencari pendapatan sendiri dan akhirnya mereka berpindah pula ke Wakaf Siku, Jalan Kuala Krai, Kota Bharu, di belakang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bahagian Pengangkutan.
Ketika berumur 13 tahun, Kak Lah membantu ibunya berniaga di Stadium Sultan Muhammad IV. Setiap kali perlawan bola sepak, Kak Lah menjual air batu dan kacang goreng. Pada usia 15 tahun, Kak Lah juga membantu ibunya berniaga di pasar Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) untuk menyara kehidupan keluarga.
Ibu Kak Lah mempunyai dua anak angkat, iaitu anak saudaranya yang bernama Nasir dan Mamat. Sunan Wali Songo dan Sunan Gunung Jati telah menyerupai dirinya dalam badan Nasir dan Mamat dan menyatakan bahawa Kak Lah tidak boleh berniaga; dia akan sentiasa kerugian. Namun, Kak Lah tetap juga dengan pendiriannya. Dia memang suka berniaga.
Kak Lah juga berminat dalam bidang memasak. Kak Lah pernah berniaga menjual makanan di bazar berdekatan untuk menampung kehidupannya. Selain itu, Kak Lah juga pernah membuat perkhidmatan katering.
Pada usia 40 tahun, Kak Lah tidak boleh lagi berdagang kerana tidak pernah beroleh keuntungan. Pada suatu hari, Kak Lah bersiap diri untuk menghadiri satu mesyuarat. Mak Bonda pernah menyindir Kak Lah dengan berkata sedemikian, “Oloh, meeting lah, berdagang konon…” Dari sindiran Mak Bonda sudah jelas memberi maksud tersirat bahawa Kak Lah sememangnya tidak boleh berdagang kerana tidak akan menbawa apa-apa keuntungan kepadanya.
Kak Lah telah menyertai kursus kecantikan dan hiasan rambut di Institut Kemahiran Mara (IKM), Petaling Jaya selama dua tahun dan kursus di Institut Usahawan Bumiputera. Selepas tamat kursus, beliau telah menceburi bidang perniagaan mulai tahun 1983 dengan membuka empat pusat kecantikan, iaitu Dilla de Jam, Pusat Kecantikan D Dilla, Dilla Hiasan Rambut dan See Cut Hair Saloon.
Namun, pelbagai cabaran dan dugaan terpaksa ditempuhi oleh Kak Lah dan telah membawa kerugian dalam perniagaan diceburinya. Sepanjang penglibatan Kak Lah dalam perniagaan, bukan sahaja cabaran dan rintangan yang dihadapi, tetapi juga beberapa perkara aneh telah berlaku kepadanya.
Pernah suatu ketika, semasa Kak Lah sedang memberikan perkhidmatan kepada pelanggan, tiba-tiba beliau rebah dan tidak sedarkan diri. Pada mulanya, adik Kak Lah, Suhidah yang bersama menguruskan perniagaan salun itu turut terkejut dan tidak memahami apa yang berlaku kepada kakaknya itu. Begitu juga dengan empunya badan.
Namun, selepas itu Kak Lah mempunyai kebolehan untuk mengubat pesakit. Ramai pelanggan salun Kak Lah yang mempunyai pelbagai penyakit berkaitan dengan keturunan, saka, penyakit buatan orang atau ilmu hitam dapat diubatinya.
Salun Kak Lah bukan lagi menjadi tempat untuk berdandan rambut dan bersolek, tetapi mula menjadi pusat perubatan tradisional secara tidak langsung. Kak Lah menjadi terkenal dengan kebolehan kedua yang tidak dipelajarinya, tetapi terjadi dengan sendirinya. Dia menerima itu sebagai ketentuan.
Suhidah juga pernah bercerita mengenai keanehan yang berlaku kepada kakaknya itu sewaktu melawat Melaka Bandaraya Bersejarah pada tahun 1987. Apabila sampai di Makam Hang Tuah, Tanjung Kling yang terletak 12 kilometer dari bandar raya itu, kakaknya itu secara tiba-tiba telah bersilat dengan lagaknya seperti seorang pahlawan sedang bertarung.
Setahu Suhidah, Kak Lah sememangnya tidak pernah mengikut mana-mana kelas silat, apatah lagi mempunyai kemahiran bersilat. Ini sangat menghairankan dirinya.
Begitu juga dengan Kak Lah, dia terpinga-pinga dan keletihan. Selepas itu, mereka pergi pula ke Perigi Hang Li Po, Bukit Cina. Di situ juga satu perkara aneh berlaku lagi. Kak Lah tiba-tiba tidak sedarkan diri dan duduk bagaikan seorang puteri yang mempunyai mata sepet dan bermulut kecil seolah tubuhnya dikuasai roh Puteri Hang Li Po.
Kejadian aneh yang menimpa beliau menimbulkan pelbagai persoalan pada dirinya sendiri dan keluarga.
Kak Lah memang suka membuka perniagaan. Melaluinya kepimpinannya dalam pelbagai persatuan perniagaan itu terserlah, sama ada di peringkat negeri (Kelantan) atau negara (Malaysia). Sifatnya yang terbuka, rajin bekerja dan fokus kepada tanggungjawabnya, menjadikan beliau disenangi oleh ahli persatuan.
Beliau pernah menjadi Penasihat Peniagawati Kelantan dan AJK Pusat, Timbalan (penaja) Alumni Mara Malaysia, Presiden Perlikma (Persatuan Institut Kemahiran Mara), Timbalan Ketua Usahanita Negeri Kelantan dan Pengerusi Wawasanita Cawangan Kelantan.
Perkahwinan pertama

Ketika berumur 25 tahun, pada tahun 1984, Kak Lah telah dijabkabulkan dengan seorang jejaka berasal dari Perak bernama Rasidi bin Zahari iaitu anak kepada Ahli Lembaga Pengarah Ajinomoto, Dato’ Zahari Zabidi.
Mereka tinggal di kediaman Seri Rahmat, Jalan Gurney, Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Majlis perkahwinan telah dilangsungkan dengan meriah, tetapi penuh kesederhanaan di Kelantan.
Di sinilah, Allah SWT menguji ketabahan hati seorang wanita seperti Kak Lah. Perkahwinan yang diharap akan bahagia dan direstui keluarga, akhirnya mendatangkan kesengsaraan kepada Kak Lah. Dari awal perkahwinan lagi, Kak Lah telah dihina dan dicaci. Dia dituduh hendak membolot harta suaminya. Ini semata-mata kerana dia berasl dari keluarga miskin. Namun, Kak Lah tabah mengharungi bahtera perkahwinan itu kerana cintanya yang mendalam kepada Rasidi.
Ketika menjalankan pernikahan di Kelantan, emak saudara Kak Lah telah didatangi seorang wanita yang sangat cantik dalam mimpinya. Wanita itu berkata:
“Kau nak kahwinkan anak keponakan mu, dia mestilah diletakkan dan disiapkan dengan kain kuning dan berarak dengan gajah atau diusung dengan buluh”.
Namun, ayah tidak mengikut arahan itu apabila diceritakan oleh ibu tetamu dengan pisang kelat keling dan biskut tawar sahaja”. Mungkin permintaan itu keterlaluan untuk dilakukan, walaupun Kak Lah percaya ayahnya itu tahu maksud sebenar.
Kak Lah mestilah dinikahkan dengan peralatan seperti seorang kerabat raja, namun, perkahwinan itu meriah dengan cara budaya Melayu; Kak Lah berbaju songket dan berhias seperti adatnya. Pasangannya, Rasidi juga segak berpakaian songket merah sedondong dengan Kak Lah. Mereka tersenyum gembira di atas pelamin sewaktu disandingkan.
Namun, satu peristiwa aneh berlaku dalam majlis itu. Semua makanan yang dihidangkan untuk rombongan pengantin lelaki telah dikerumuni ulat yang tiba-tiba muncul dalam pinggan lauk-lauk. Mereka juga terkena sakit perut yang dahsyat.
Semua ahli rombongan itu, seramai 80 orang terpaksa pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Mereka menuduh Kak Lah menggunakan bomoh untuk mengkhianati mereka. Namun, orang ramai dan keluarga Kak Lah tidak pula menghadapi keadaan seperti itu. Inilah permulaan rasa tidak puas hati dan kebencian keluarga Rasidi kepada Kak Lah. Bibit keretakan rumah tangganya bermula dari sini.
Bagaimanapun, kehidupan berkeluarga amat perit dirasainya. Pertelingkahan dan penghinaan yang terpaksa ditempuhi Kak Lah dari pihak ibu mentua serta ipar duainya menyebabkan perkahwinannya tidak bahagia. Hatinya sentiasa gundah gulana. Tidak seperti manusia lain, kehidupannya sentiasa terumbang ambing sejak dari dalam Rahim sehingga ke alam berumah tangga.
Pelbagai perniagaan juga telah diceburi, tetapi semuanya gagal. Kehidupan suaminya juga semakin susah. Pertengkaran menjadi lumrah. Rasa cinta yang pernah bertakhta di hati menjadi semakin hambar. Ternyata tidak ada kegembiraan antara mereka.
Akhirnya, perkahwinan itu hanya mampu bertahan selama tujuh tahun, walaupun ada tiga cahaya mata menghiasi perkahwinan itu. Mereka ialah Noatiqi binti Rasidi, Noshafiqar binti Rasidi dan Amir Mukhtar bin Rasidi. Namun, kerana kurang persefahaman dan campur tangan keluarga, perkahwinan pertama Kak Lah telah berakhir pada tahun 1990, iaitu selepas melahirkan anak ketiga.

Kak Lah cuba mengendalikan hidupnya drngan kekuatan sendiri. Bidang perniagaan makanan menjadi perhatiannya. Pada tahun 1990, Kak Lah telah memulakan perniagaan restoran, kantin dan pembekalan makanan Food Catering di ibu pejabat Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN).
Pada mulanya, perniagaan itu mendapat sambutan yang baik. Ini mendorong Kak Lah pada tahun 1991 menubuhkan Plus Eleven Sdn. Bhd. dan menjadi Pengarah Eksekutif. Syarikat ini terlibat dalam industri pengeluaran makanan segera jenama Alif dan kilangnya terletak di Senawang, Negeri Sembilan.
Namun, perniagaan itu hanya dapat bertahan beberapa tahun. Kerugian yang dialaminya tidak memungkinkan dia terus berniaga. Dia dinasihatkan oleh seorang kenalannya supaya meninggalkan bidang perniagaan untuk selama-lamanya.
Kak Lah mengikut mimpinnya yang meminta dia pulang ke kampung halamannya, iaitu Kelantan. Akhirnya, Kak Lah pulang dengan membawa ketiga-tiga anaknya, walaupun mereka belum bercerai secara rasmi. Pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi dalam menjalani kehidupan seharian setelah hidup berasingan dengan suami.
Soal kewangan dan kebajikan hidup anak-anaknya terpaksa bergantung pada ibunya dan kerja-kerja sampingan yang dilakukannya. Pada tahun 1996, beliau telah membuat keputusan mengundur diri dan menjual segala ekuiti yang dipegang dalam syarikat. Pada tahun 1997, perceraian Kak Lah dengan suami telah disahkan.
Kehidupan yang dilalui oleh Kak Lah agak berlainan daripada orang lain. Kebanyakan pendapat bahawa mimpi hanya mainan tidur, tetapi berlainan pula bagi Kak Lah yang menganggap mimpi petanda realiti.
Pada tahun 1990, Kak Lah bermimpi parti Barisan Nasional (BN) akan kalah teruk jika Menteri Besar, Datuk Mohammad Yaacob tidak meletakkan jawatan. Pandangannya itu tidak dihiraukan oleh sesiapa pun. Siapalah Kak Lah pada pucuk pimpinan BN Kelantan.
Akhirnya BN telah kalah teruk dalam pilihan raya umum pada tahun 1990 dan Pas telah membentuk kerajaan yang kuat. Walaupun Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sangat dikagumi oleh masyarakat luar negara, tetapi rakyat Kelantan memilih Pas untuk menjadi kerajaannya. Penguasaan Pas itu berlaku sehingga kini.
Perkahwinan kedua
Kak Lah telah bermimpi akan berkahwin dengan seorang lelaki yang berpakaian seperti raja India (khan) dalam gua dengan mas kahwin al-Quran emas oleh seorang lelaki tua yang berjanggut putih dan bertasbih panjang sampai ke paras lutut, manakala beliau berpakaian seperti puteri dan memakai mahkota kecil yang sangat cantik.
Sebulan kemudian, mimpi Kak Lah telah menjadi kenyataan, iaitu dalam satu majlis makan malam di Hotel Perdana, Kak Lah terlihat kelibat seorang lelaki yang seiras dengan lelaki dalam mimpinya. Kening lelaki itu sama seperti kening lelaki dalam mimpinya.
Lelaki itu telah datang kepadanya dan memberitahu bahawa dia telah sembahyang hajat untuk mencari kerelaan Allah SWT. Dia seolah-olah diputuskan mesti berkahwin dengan Kak Lah untuk mengubat penyakit misterinya.
Lelaki itu bernama Dr. Halim Hamat. Oleh sebab mimpi dan keyakinan yang diberikan oleh lelaki itu, Kak Lah telah melangsungkan pernikahannya untuk kali kedua di Thailand pada tahun 1999. Suaminya ingin merahsiakan perkahwinan mereka dari pengetahuan masyarakat. Walaupun alasan tidak diberikan, Kak Lah tetap percaya kepada suaminya itu.
Pada malam perkahwinan itu, Kak Lah telah bermimpi. Terdapat 13 tompokan Najis yang dipijak oleh semuanya sebelum memasuki rumah. Kak Lah telah membersihkan Najis itu setompok demi setompok. Rupa-rupanya sepanjang 13 tahun perkahwinan, Kak Lah telah mengalami pelbagai penderitaan, penghinaan, kekecewaan dan kesedihan yang tidak dapat digambarkan dengnan kata-kata.
Ternyata Dr. Halim berkahwin dengannya hanya untuk menggunakan kedudukan Kak Lah yang ketika itu mempunyai hubungan baik dengan orang kenamaan. Suaminya tidak Ikhlas kepadanya. Malah, Dr. Halim enggan mengisytiharkan dan mendaftar perkahwinan mereka. Apabila terkenangkan sejarah Puteri Saadong, Kak Lah menganggap suaminya itu bagaikan jelmaan Raja Abdullah yang tidak Ikhlas kepada perkahwinan mereka.
Hari demi hari, kehidupan berumah tangga bersama suami kedua, tidak membawa kebahagiaan seperti pasangan lain.
Sekembali dari Brunei untuk menjual batu permata bagi mendapatkan sumber kewangan untuk NGOnya, Kelab Bumi Rahmat, Kak Lah bersama seorang sahabat dan ibunya telah pergi ke Thailand membuat tuntutan fasakh cerai dengan suaminya yang tidak menjalankan tanggungjawab kepadanya.
Mereka telah pergi ke Pejabat Agama Islam Narathiwat. Di sana, tiada seorang pegawai pun yang bertugas pada masa itu, tetapi terdapat seorang lelaki yang duduk bersila di atas kerusi seperti tokong Buddha. Dia berkata, “Nak nikah boleh, nak cerai dok leh (tidak boleh)”. Kak Lah terkejut dan tak dapat bertanya apa-apa. Lelaki itu terus mendiamkan diri dan menutup matanya.
Mereka bertolak balik ke Kelantan. Apabila sampai di Kota Bharu, suaminya sedang menunggu dalam keadaan dia dan sangat muram. Kak Lah berasa sangat bersalah kerana menuntut fasakh.
Perasaan bersalahnya hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Sebenarnya Kak Lah pergi ke Thailand atas nasihat sahabat-sahabat, bukan atas kehendak hatinya sendiri. Dia masih sayang kepada suaminya itu. Pada malam itu, beliau bersama dengan suami. Beliau kemudian bermimpi seekor burung merpati telah terbang rendah dan hinggap di ribanya.
Dua minggu selepas itu, pada umur mencecah 40 tahun, Kak Lah disahkan mengandung. Suaminya amat terkejut. Dia berkata, “keajaiban tak mungkin akan berlaku. Sebab dia berkahwin dengan Kak Lah bukan dengan perasaan cinta yang Ikhlas. Perkahwinannya itu hanya untuk mengubati sakit misterinya. Hanya dengan perkahwinan itu, sakit misterinya akan sembuh.
Ini dilakukannya dengan nasihat orang tertentu yang dirujuknya. Ternyata, dia mementingkan dirinya sendiri. Sepatutnya dia berasa gembira dengan kurniaan Allah SWT kepada mereka. Kebahagiaan hati Kak Lah langsung tidak dihargai. – NasionalDaily
Bersambung
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252