KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang penjawat awam bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat Nur Farah Kartini Abdullah, 25.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek berusia 26 tahun itu ditahan susulan penemuan mayat wanita di ladang kelapa sawit, Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira jam 6 petang semalam.
“Pemeriksaan awal mengesahkan mayat berkenaan adalah mangsa yang dilaporkan hilang berkait laporan di Tanjung Malim.
“Susulan penemuan mayat berkenaan polis menahan lelaki terbabit bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan ditemukan mati dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.
Sebelum ini, portal ini melaporkan polis menerima laporan berhubung kehilangan Nur Farah Kartini berasal dari Miri, Sarawak yang juga bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 1.56 pagi, 10 Julai lalu.
Kali terakhir mangsa dilihat memakai pakaian korporat berwarna biru, bertudung dan mengenakan seluar slack hitam.
Kata Hussein, lelaki terbabit akan direman pagi esok (hari ini) di di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu.
“Suspek direman 9 pagi esok,” katanya ringkas.
Proses bedah siasat ke atas mayat Nur Farah Kartini dilakukan di Hospital Sungai Buloh malam tadi. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252