PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan akan melakukan penahanan terhadap lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki memberitahu, ia tidak benar dan sekadar khabar angin sahaja.
“Khabar angin,” katanya ringkas seperti dilapor Berita Harian.
Semalam, tular seorang pemimpin politik kanan sebuah parti Kerajaan Perpaduan di Perlis mendakwa, SPRM akan menahan lima ADUN dari negeri itu dalam masa terdekat untuk tujuan siasatan.
Siasatan dijangka dilakukan susulan penahanan anak kepada Menteri Besar Perlis yang direman pada pertengahan April lalu atas dakwaan membuat tuntutan palsu terhadap kerja yang tidak dilaksanakan berjumlah RM600,000.
Malah, ahli politik itu mendakwa identiti lima ADUN itu sendiri didedahkan oleh anak Menteri Besar Perlis itu semasa siasatan dijalankan.
Pada pertengahan April lalu, enam individu termasuk anak kepada Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli direman oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung pemalsuan dokumen bagi tuntutan palsu berjumlah RM600,000 yang turut membabitkan siasatan berhubung dakwaan mengenai penyediaan minuman untuk kegunaan Raja Perlis yang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.
Pada 30 April pula, Mohd Shukri pula tampil untuk memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi tujuan siasatan salah guna kuasa. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252