Azerbaijan dan Tudung: Malaysia Jangan Terlalu Selesa dengan Kedudukan Islam

AZERBAIJAN ialah negara yang kira-kira 95 hingga 97 peratus penduduknya dikenal pasti sebagai Muslim. Namun, seperti mana laporan media dan kita sedia maklum, negara majoriti Muslim ini kini berdepan kontroversi apabila peraturan pakaian sekolah baharu.

Ini mencetuskan kebimbangan terhadap pelajar perempuan yang memakai tudung. Berita di media memaparkan pelajar-pelajar perempuan merayu pihak sekolah agar mereka dibenarkan masuk belajar di kelas.

Sungguh menyayat hati. Ironinya, bagaimana perkara ini boleh berlaku di sebuah negara yang begitu besar populasi Muslimnya?

Pada 21 September 2026, Kabinet Azerbaijan meluluskan pindaan peraturan pakaian seragam sekolah melarang pakaian yang menjejaskan keseragaman uniform atau dianggap tidak selaras dengan prinsip sekularisme pendidikan.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Walaupun tudung tidak disebut secara khusus dalam pengumuman rasmi, pelaksanaan peraturan itu dilaporkan mencetuskan insiden pelajar bertudung dihalang memasuki sekolah.

Hakikatnya, isu ini bukan sekadar mengenai tudung atau uniform. Ia membuka persoalan lebih besar mengenai hubungan agama dengan negara, makna sekularisme dan sejauh mana kebebasan beragama dihormati apabila berhadapan dengan dasar kerajaan.

Untuk memahami puncanya, kita perlu melihat sejarah Azerbaijan sebagai bekas republik Kesatuan Soviet yang mewarisi tradisi pentadbiran sekular.

Selepas memperoleh kemerdekaan, Azerbaijan mengekalkan pemisahan agama daripada institusi negara. Dalam kerangka ini, sekularisme menjadi sebahagian daripada identiti kenegaraan dan sistem pendidikan.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Namun, apabila prinsip tersebut ditafsirkan sehingga pakaian keagamaan berpotensi menghalang seseorang daripada menghadiri sekolah, timbul persoalan mengenai keseimbangan antara kuasa negara dengan hak individu.

Lebih menarik, Perlembagaan Azerbaijan sendiri menjamin hak pendidikan dan kebebasan hati nurani. Perkara 42 menjamin hak warganegara kepada pendidikan, manakala Perkara 48 melindungi kebebasan beragama.

Justeru, perdebatan ini bukan semata-mata mengenai sama ada kerajaan berhak menetapkan uniform, tetapi bagaimana peraturan itu dilaksanakan tanpa menjejaskan hak yang turut dijamin oleh perlembagaan negara tersebut.

Dalam rentetan sejarah, Azerbaijan bukan negara pertama berdepan pertentangan antara sekularisme dengan tudung. Perancis meluluskan undang-undang pada 2004 melarang simbol agama yang ketara di sekolah awam, termasuk tudung Islam, kopiah Yahudi dan salib Kristian bersaiz besar.

Turkiye pula pernah melaksanakan sekatan tudung di universiti dan institusi awam sebelum larangan berkenaan dilonggarkan secara berperingkat.

Kedua-dua pengalaman ini menunjukkan pakaian keagamaan boleh menjadi medan pertarungan antara dasar negara, identiti kebangsaan dan kebebasan individu.

Berbalik kepada krisis di Azerbaijan, adakah tindakan Azerbaijan boleh dianggap Islamofobia? Kita perlu berhati-hati sebelum membuat kesimpulan setiap dasar sekular bermotifkan kebencian terhadap Islam terutama setelah meneliti sebab keputusan yang diambil kerajaan Azerbaijan ini.

Namun, apabila peraturan yang kelihatan neutral memberikan kesan tidak seimbang kepada umat Islam, persoalan diskriminasi perlu diteliti.

Islamofobia bukan hanya hadir melalui serangan fizikal atau penghinaan terbuka; ia juga boleh dibincangkan apabila simbol Islam berulang kali dianggap tidak serasi dengan kemodenan atau kehidupan awam.

Apa pula kesannya kepada kita sebagai rakyat Malaysia beragama Islam yang tinggal di Malaysia, sebuah negara majoriti umat Islam?

Rata-rata, kita perlu mengambil pengajaran besar daripada perkembangan ini. Kita tidak boleh menganggap perkara yang berlaku di Azerbaijan mustahil berlaku di negara ini hanya kerana Islam ialah agama Persekutuan dan umat Islam adalah majoriti penduduk.

Kedudukan perlembagaan Malaysia berbeza daripada Azerbaijan, tetapi majoriti agama bukan jaminan automatik bahawa setiap dasar akan sentiasa melindungi ekspresi keagamaan.

Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama, manakala Perkara 12 melindungi hak berkaitan pendidikan, termasuk larangan diskriminasi atas alasan agama dalam konteks yang dinyatakan oleh peruntukan tersebut.

Jaminan ini perlu diterjemahkan melalui dasar yang adil, pelaksanaan yang konsisten dan institusi yang bertanggungjawab.

Inilah sebabnya Malaysia tidak boleh berada dalam zon selesa. Sesuatu dasar mungkin kelihatan munasabah pada peringkat penggubalan, tetapi pelaksanaannya boleh menimbulkan ketidakadilan jika terlalu luas atau diserahkan kepada tafsiran yang tidak konsisten.

Kita perlu sentiasa menilai sama ada peraturan pendidikan benar-benar diperlukan, berkadar dengan tujuannya dan tidak menafikan hak pelajar secara tidak wajar.

Umat Islam juga perlu mempertahankan kebebasan beragama secara berprinsip. Kita tidak boleh hanya bersuara apabila hak umat Islam terjejas di negara lain, tetapi berdiam diri apabila prinsip keadilan yang sama melibatkan kelompok lain.

Solidariti bukan sekadar kemarahan di media sosial; ia memerlukan usaha menyebarkan maklumat yang tepat, berdialog secara matang dan menggunakan saluran undang-undang serta diplomatik.

Tidak keterlaluan jika dikatakan Azerbaijan bukan bukti bahawa Malaysia pasti akan melalui jalan yang sama. Sebaliknya, kes ini ialah peringatan bahawa identiti agama sesebuah negara dan perlindungan terhadap ekspresi agama warganya ialah dua perkara yang berbeza.

Yang pertama dapat dilihat melalui demografi dan kedudukan rasmi agama; yang kedua mesti dibuktikan melalui dasar dan tindakan.

Malaysia tidak perlu menunggu sehingga hak yang selama ini dianggap terjamin mula dipersoalkan sebelum melakukan muhasabah.

Negara yang yakin dengan kedudukan Islamnya sepatutnya berani menilai kelemahan sendiri dan memastikan keadilan bukan sekadar disebut dalam perlembagaan, tetapi benar-benar dirasai oleh rakyat.

Jangan tunggu sehingga pintu sekolah tertutup untuk menyedari bahawa hak perlu sentiasa dipertahankan.

Majoriti Muslim bukan alasan untuk kita berasa terlalu selesa; sebaliknya, ia sepatutnya menguatkan tanggungjawab kita memastikan keadilan dan kebebasan beragama terus terpelihara.

Dr. Siti Suriani Othman ialah Presiden dan Pengasas USIM Writers’ Pool, dan Pensyarah Kanan Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *