KUALA LUMPUR – Betamek Berhad menyasarkan untuk memperluaskan asas pelanggannya di luar pelanggan utama, selain memperkukuh kecekapan operasi dan meningkatkan pelaburan dalam inovasi bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang syarikat.
Pengarah Eksekutif Betamek, Muhammad Fauzi Abd Ghani berkata, syarikat kekal memberi tumpuan kepada pengukuhan keupayaan teras serta meneroka peluang baharu yang berpotensi meningkatkan pendapatan.
“Kami kekal fokus untuk memperkukuh keupayaan teras kami, meluaskan asas pelanggan dan mengejar peluang yang boleh meluaskan potensi pendapatan Betamek,” katanya dalam kenyataan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kelima syarikat itu.
Menurut beliau, sokongan pemegang saham terhadap semua resolusi yang dibentangkan memberikan Lembaga Pengarah fleksibiliti untuk mengimbangi pulangan kepada pemegang saham, pengurusan modal secara berhemat dan keutamaan pertumbuhan jangka panjang.
Katanya, strategi berkenaan turut merangkumi pengembangan pasaran automotif dan bukan automotif terpilih, di samping meningkatkan kecekapan operasi serta memperkukuh keupayaan syarikat dalam perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS).
Dalam pada itu, pemegang saham meluluskan semua resolusi yang dibentangkan pada AGM berkenaan, termasuk pembayaran dividen akhir satu peringkat sebanyak 1.25 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026.
Dividen itu akan dibayar pada 12 Oktober 2026 kepada pemegang saham yang namanya tercatat dalam Rekod Pendeposit pada 1 Oktober 2026.
Pemegang saham turut meluluskan kuasa kepada Lembaga Pengarah untuk membeli balik sehingga 10 peratus daripada jumlah saham terbitan syarikat, tertakluk kepada Akta Syarikat 2016 dan keperluan penyenaraian Bursa Malaysia.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Kelulusan tersebut memberi Betamek instrumen tambahan untuk mengurus modal syarikat berdasarkan keadaan pasaran dan kepentingan syarikat.
Betamek adalah pengilang reka bentuk asal (ODM) dan penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) yang memberi tumpuan kepada sektor automotif dan perindustrian.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
