A. Kadir Anggap Syed Saddiq Pemimpin Pelapis Berpotensi Besar

KUALA LUMPUR – Wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin menyifatkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman antara pemimpin muda yang memiliki sifat terpuji serta berpotensi besar dalam landskap politik negara.

Beliau berkata, sepanjang lebih lima dekad bergelar wartawan sejak 16 Jun 1969, beliau berpeluang mengenali dan membuat liputan mengenai ramai ahli politik dari pelbagai generasi, termasuk pemimpin yang disifatkannya berintegriti dan berdedikasi.

Menurutnya, pertemuan secara rasmi dengan Syed Saddiq sekitar Mei 2016 dalam sebuah forum awam di Batu Pahat yang membincangkan isu skandal 1MDB menjadi titik permulaan beliau melihat potensi bekas Menteri Belia dan Sukan itu sebagai pemimpin pelapis negara.

Forum berkenaan turut menampilkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ahli panel, manakala ia diadakan ketika Muhyiddin berdepan tekanan politik susulan pemecatannya daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Ketika itu saya mula menyedari potensi Syed Saddiq sebagai calon pemimpin pelapis. Sejak saat itu, setakat yang termampu, saya memberikan sokongan terhadap perjuangannya,” katanya dalam satu kenyataan.

A. Kadir berkata, beliau jarang memberikan pujian kepada ahli politik kerana berpendapat golongan itu seharusnya menjadikan sifat terpuji dan khidmat kepada rakyat sebagai tanggungjawab asas, bukannya sesuatu yang perlu dipuji secara berlebihan.

Katanya, ahli politik yang menjadikan politik sebagai medan perjuangan sewajarnya mengutamakan amanah dan kebajikan rakyat, manakala mereka yang memilih politik sebagai kerjaya telah menerima ganjaran menerusi gaji, elaun serta pelbagai kemudahan yang disediakan.

Beliau menegaskan, rakyat hanya perlu menghargai pemimpin melalui mandat yang diberikan menerusi peti undi, namun tidak teragak-agak menolak mana-mana ahli politik yang mungkir janji, terlibat dengan rasuah, salah laku atau gagal melaksanakan amanah.

Mengulas mengenai Syed Saddiq, beliau berkata, Ahli Parlimen Muar itu memperlihatkan ketabahan apabila berdepan pelbagai cabaran politik tanpa mudah berputus asa, sebaliknya menjadikan setiap kesukaran sebagai dorongan untuk mencari penyelesaian.

Beliau turut memuji tindakan Syed Saddiq yang meraikan kemenangan di Mahkamah Agung dengan menganjurkan larian amal sejauh kira-kira 170 kilometer dari Istana Kehakiman di Putrajaya ke Muar bagi mengumpul dana untuk penduduk kawasan Parlimennya.

Menurut A. Kadir, inisiatif itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai sepanjang laluan larian, malah dalam tempoh dua hari pertama, kutipan derma yang berjaya dikumpulkan dilaporkan melebihi RM360,000.

Pada masa sama, beliau berkata, masih terdapat pihak yang cuba menghalang perjuangan politik pemimpin muda berkenaan, namun menyifatkan setiap ujian sebagai sebahagian daripada cabaran yang perlu ditempuh oleh individu yang hendak berbakti kepada masyarakat.

Beliau turut mendoakan agar Syed Saddiq serta pemimpin generasi muda yang berpegang kepada nilai integriti dan amanah terus diberikan petunjuk serta kekuatan dalam meneruskan perjuangan mereka demi kepentingan negara.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *