KUALA LUMPUR – Kerajaan Johor menggesa Kerajaan Persekutuan membuat keputusan segera, jelas dan muktamad berhubung status individu yang terlibat serta operasi Network School di Forest City, susulan kontroversi yang semakin mendapat perhatian umum.
Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sebarang perkara berkaitan kemasukan warga asing ke Malaysia berada di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN), justeru keputusan mengenainya perlu diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri pada masa sama telah mengambil tindakan dalam ruang lingkup bidang kuasanya menerusi Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dengan melaksanakan pemeriksaan terhadap pematuhan lesen perniagaan, penggunaan premis serta syarat-syarat berkaitan papan iklan.
“Hasil pemeriksaan mendapati syarikat berkenaan beroperasi di dua premis. Sebuah premis mempunyai lesen pejabat urusan yang sah, manakala sebuah lagi didapati beroperasi tanpa lesen perniagaan MBIP walaupun dimiliki oleh seorang warganegara tempatan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.
Onn Hafiz berkata, siasatan turut mendapati syarikat terbabit dipercayai telah melanggar syarat penggunaan premis apabila lesen yang diluluskan adalah bagi tujuan pejabat urusan, namun premis tersebut digunakan sebagai ruang kelas dan lokasi promosi perniagaan tanpa permohonan terperinci kepada pihak berkuasa.
Sehubungan itu, MBIP telah mengambil beberapa tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat berkenaan.
Antaranya, mengeluarkan Notis Henti Niaga ke atas premis yang didapati beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah, selain mengeluarkan Notis Lesen Iklan di bawah Seksyen 107(2), Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana mempamerkan papan iklan yang tidak mematuhi syarat serta tidak selaras dengan kelulusan yang diberikan.
Beliau menegaskan, Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa negeri.
“MBIP akan meneruskan siasatan terhadap semua aspek yang berada di bawah bidang kuasanya. Sekiranya didapati terdapat pelanggaran undang-undang, syarat lesen atau peraturan yang berkuat kuasa, tindakan penguatkuasaan lanjut akan diambil mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.
Dalam masa sama, Onn Hafiz sekali lagi menggesa Kerajaan Persekutuan mempercepatkan penelitian terhadap isu berkenaan agar status operasi Network School serta individu yang terlibat dapat diputuskan dengan segera bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan memastikan kepentingan serta kedaulatan negara terus terpelihara.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L