Memperkasa Peranan dan Akauntabiliti ILB dalam Pembangunan Kemahiran Negara

Oleh: Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali

MALAYSIA sedang melangkah memasuki era Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) dalam landskap ekonomi yang semakin kompleks, dipacu oleh perubahan teknologi, kecerdasan buatan, automasi serta peralihan kepada ekonomi hijau dan bernilai tinggi.

Dalam persekitaran ini, ekosistem kemahiran negara tidak lagi boleh bergerak secara konvensional atau sekadar bertindak balas terhadap perubahan. Kita perlu bergerak lebih pantas, lebih tepat dan lebih berani.

Atas kesedaran tersebut, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) memperkenalkan Agenda Strategik (R)EVOLUSI TVET JPK 2026–2030 yang berteraskan lima fokus utama, iaitu Global Excellence, High-Value Economy, Digital and AI Revolution, Industry-Led dan Inclusive Certification.

Agenda ini bukan sekadar penjenamaan semula program sedia ada, tetapi merupakan anjakan menyeluruh terhadap cara negara merancang, melaksanakan dan menilai pembangunan tenaga mahir.

Anjakan terbesar yang sedang dilaksanakan adalah menoktahkan pendekatan perancangan guna tenaga secara teka-teka. Perancangan latihan tidak boleh lagi bergantung semata-mata pada jumlah program, kapasiti institusi atau data penawaran.

Pendekatan sedemikian berisiko menghasilkan ketidakpadanan antara kemahiran yang dilatih dengan pekerjaan yang benar-benar diperlukan oleh industri.

Sebaliknya, pembangunan kemahiran negara perlu dipacu oleh data unjuran permintaan industri, perubahan struktur pekerjaan dan keputusan berasaskan bukti.

Maklumat daripada majikan, industri dan pasaran buruh mesti menjadi asas kepada pembangunan standard, penyediaan latihan, persijilan serta perancangan tenaga kerja negara. Inilah perubahan daripada pendekatan supply-side kepada pendekatan demand side yang menjadi teras (R)EVOLUSI TVET.

Penubuhan Badan Peneraju Industri atau Industry Lead Body (ILB) pada tahun 2008 di bawah Pelan Induk Pembangunan Kemahiran Pekerjaan 2008–2020 pada asalnya bertujuan mendapatkan input teknikal industri.

Namun, setelah hampir dua dekad, ILB tidak lagi boleh sekadar memainkan peranan sebagai rakan perunding.

Di bawah Dasar TVET Negara 2030, ILB perlu tampil sebagai nakhoda sektor masing-masing bagi mengenal pasti pekerjaan kritikal, menentukan kompetensi yang diperlukan, membantu membangunkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS), menggerakkan pensijilan pekerja serta memastikan latihan benar-benar memenuhi kehendak industri.

Kerajaan telah menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap pembangunan TVET, termasuk melalui peruntukan RM7.9 bilion pada tahun 2026 untuk memperkasakan latihan dan pembangunan kemahiran, khususnya dalam sektor berpertumbuhan tinggi.

Bagaimanapun, pelaburan besar ini perlu diterjemahkan kepada hasil yang nyata iaitu melalui lebih ramai pekerja kompeten, produktiviti lebih tinggi, mobiliti kerjaya yang lebih baik serta pendapatan yang setimpal dengan kemahiran.

Kepercayaan ini datang bersama mandat dan akauntabiliti. ILB perlu menjadi jurucakap rasmi majikan, penasihat kepada keperluan latihan sektor serta penggerak utama Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM).

Gelaran peneraju tidak seharusnya bersifat simbolik. Ia mesti diterjemahkan melalui tindakan, kepimpinan dan hasil yang boleh diukur. Kelayakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) tidak boleh lagi dianggap sebagai pilihan kedua berbanding kelayakan lain.

Pensijilan ini membuktikan bahawa seseorang pekerja telah memenuhi standard kompetensi yang dibangunkan dan disahkan bersama industri. Oleh itu, syarikat, badan berkanun, persatuan industri dan agensi pengawal selia perlu menjadikan kelayakan SPKM sebagai antara kriteria utama pengambilan, pengesahan kompetensi, kenaikan pangkat dan pembangunan kerjaya pekerja.

Bagi ILB yang mempunyai bidang kuasa perundangan atau pengawalseliaan, mandat tersebut perlu dimanfaatkan untuk memperluas pengiktirafan pensijilan kemahiran dalam sektor masing-masing.

Matlamat akhirnya jelas iaitu setiap pekerjaan mahir perlu dilaksanakan oleh individu yang benar-benar kompeten dan diiktiraf. Pensijilan bukan sekadar kepingan sijil, tetapi instrumen jaminan kualiti, keselamatan, profesionalisme dan produktiviti industri.

NOSS yang dibangunkan bersama pakar industri tidak boleh berakhir sebagai dokumen teknikal yang hanya tersimpan dalam sistem atau arkib jabatan. Setiap NOSS melibatkan pelaburan masa, kepakaran dan sumber yang besar.

Nilainya hanya dapat direalisasikan apabila digunakan untuk melatih, menilai dan mempersijilkan pekerja sebenar. ILB bertanggungjawab memastikan standard tersebut diterima pakai sepanjang rantaian industry daripada syarikat besar, perusahaan kecil dan sederhana sehingga pekerja di peringkat operasi.

NOSS mestilah hidup, berkembang dan dipraktikkan di tempat kerja. Beberapa ILB telah menunjukkan bahawa integrasi antara standard pekerjaan, persijilan dan struktur perjawatan boleh dilaksanakan.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), misalnya, telah membangunkan NOSS Sinergi bagi bidang pengawalseliaan pengangkutan jalan. Seramai 190 orang pelatih kini mengikuti program pensijilan melalui kaedah Akademi Dalam Industri (ADi).

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pula membangunkan NOSS Sinergi dalam bidang pengurusan serta pelaksanaan keselamatan kebakaran bagi memastikan fungsi pekerjaan dipadankan dengan kompetensi yang tepat.

Pendekatan ini membuktikan bahawa standard kemahiran boleh dijajarkan dengan tugas sebenar dalam perkhidmatan awam. Jabatan Laut Malaysia turut memanfaatkan pengiktirafan DKM dan DLKM di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam.

Seramai 200 orang kakitangan sektor perkapalan memperoleh peluang kemajuan kerjaya setelah memiliki diploma kemahiran. Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pula menerapkan keperluan pensijilan kemahiran berasaskan NOSS kepada operator perkhidmatan bekalan air dan pembetungan awam melalui penetapan KPI kompetensi.

Pendekatan ini merupakan langkah awal ke arah memperluaskan pengiktirafan pensijilan kemahiran dalam industri perkhidmatan air secara lebih menyeluruh. Pengiktirafan terhadap persijilan JPK turut diperkukuh melalui Pekeliling Perbendaharaan Malaysia PK 1.15 berkaitan pelaksanaan Building Information Modelling (BIM), yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2025.

Pelaksanaan BIM diwajibkan bagi projek bangunan dan infrastruktur baharu kerajaan yang mempunyai kos siling RM10 juta dan ke atas bermula RMK-13.

Kursus serta pensijilan BIM untuk kakitangan perunding dan kontraktor juga perlu diperoleh daripada penyedia latihan yang diiktiraf oleh JPK.

Perkembangan ini membuktikan bahawa pensijilan kemahiran boleh dijadikan syarat teknikal dalam perkhidmatan, pengoperasian industri dan perolehan kerajaan.

Model sedemikian perlu diperluas kepada sektor lain secara berstrategi. JPK kini membangunkan Dashboard Petunjuk Prestasi Utama ILB yang akan disepadukan dalam sistem MySPIKE.

Dashboard ini bertujuan memastikan prestasi setiap ILB dapat dipandu, dinilai dan disokong secara adil serta telus. Prestasi ILB tidak boleh hanya dinilai melalui bilangan mesyuarat atau dokumen yang dibangunkan.

Penilaian perlu mengambil kira hasil sebenar seperti pendaftaran calon, jumlah persijilan SPKM, penyediaan personel Penilaian Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu, promosi NOSS, pembangunan standard dan kurikulum serta pelaksanaan kajian sektor.

Sasaran tahunan akan ditetapkan berdasarkan kapasiti dan karakteristik setiap sektor. Pendekatan ini penting kerana struktur, saiz tenaga kerja dan tahap kematangan industri adalah berbeza.

Oleh itu, sasaran tidak wajar diseragamkan secara semberono. Prestasi akan dipaparkan melalui sistem lampu isyarat, hijau bagi ILB aktif, kuning bagi ILB yang memerlukan bimbingan dan merah bagi ILB yang tidak menunjukkan tahap pelaksanaan yang memuaskan. Namun, sistem ini bukan instrumen menghukum.

Ia merupakan mekanisme untuk mewujudkan matlamat bersama, memperjelas tanggungjawab serta membolehkan intervensi dan sokongan diberikan dengan lebih tepat.

Kajian dalaman JPK menunjukkan 45.4 peratus ILB sebelum ini tidak memperbaharui lantikan, antaranya disebabkan kelemahan pengurusan kolaborasi yang bersifat ad hoc.

Bagi menangani isu tersebut, JPK sedang membangunkan Model Kurikulum Profesional Kolaborasi Mampan JPK–ILB untuk memperkukuh kompetensi pegawai penyelaras JPK dan koordinator ILB.

Kerjasama industri tidak boleh lagi bergantung pada hubungan individu atau program bermusim. Ia perlu disokong oleh sistem, struktur, kompetensi dan akauntabiliti yang mampan.

Di peringkat akar umbi, Program (R)ACE-ILB 2026 dilaksanakan bagi mengiktiraf pekerja berpengalaman melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu.

Program ini melibatkan 69 organisasi rakan strategik, termasuk 24 ILB dan 43 agensi, dengan pendaftaran seramai 2,430 orang calon industri.

Penglibatan agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, SWCorp, Jabatan Laut Malaysia, JAKIM, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara serta Kraftangan Malaysia, di samping organisasi industri seperti FGV Holdings, FGV Plantations, Prasarana, Perodua, Destini Oil, MAB Engineering dan Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia, membuktikan bahawa silo lama boleh diruntuhkan apabila semua pihak berkongsi matlamat yang sama.

Pelantikan SPAN sebagai ILB ke-34 bagi sektor perkhidmatan bekalan air dan pembetungan turut memperkukuh ekosistem ini. Dengan bidang kuasa di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, SPAN berada pada kedudukan strategik untuk meningkatkan kompetensi, keselamatan, kecekapan dan kelestarian modal insan industri air negara.

Pada akhirnya, kejayaan pembangunan standard, integrasi data dan peningkatan jumlah persijilan tidak akan membawa makna sekiranya pekerja mahir masih dibayar pada kadar yang tidak setimpal dengan kompetensi mereka.

Majikan perlu melihat gaji bukan sekadar kos operasi, tetapi pelaburan terhadap produktiviti, inovasi dan kelangsungan organisasi. Negara tidak boleh terus mengharapkan pekerja mencapai kompetensi bertaraf dunia tetapi menerima pendapatan yang tidak mencerminkan nilai kemahiran mereka.

Justeru, industri wajar bergerak ke arah sasaran gaji permulaan sekurang-kurangnya RM2,500 bagi pemegang SKM Tahap 3 dan RM4,000 atau lebih bagi pemegang DKM dan DLKM, tertakluk pada sektor, bidang pekerjaan dan tahap tanggungjawab.

Gaji premium akan meningkatkan daya tarikan TVET, mengurangkan kehilangan bakat dan menggalakkan lebih ramai belia memilih laluan kemahiran sebagai kerjaya utama.

Masa depan TVET Malaysia tidak boleh dibina oleh kerajaan sahaja. Ia memerlukan industri yang berani memimpin, institusi yang responsif, standard yang digunakan secara meluas serta pekerja yang dihargai secara adil.

ILB bukan lagi sekadar rakan teknikal JPK. ILB ialah peneraju perubahan, pemilik keperluan kompetensi dan penjaga kualiti tenaga mahir sektor masing-masing. Sekiranya semua pihak bergerak sederap, Malaysia mampu membangunkan sistem kemahiran yang diyakini industri, dihormati masyarakat dan diiktiraf pada peringkat global.

Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman bin Hj. Md. Ali Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *