KUALA LUMPUR – Usaha membanteras rasuah tidak boleh digalas satu institusi semata-mata, sebaliknya menuntut kerjasama erat antara institusi penguatkuasaan, badan penasihat, Parlimen, sektor awam, sektor swasta serta seluruh masyarakat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata dalam konteks itu, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) dan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), berperanan penting sebagai mekanisme semak dan imbang dengan memberikan pandangan bebas dan kritikal, bagi memperkukuh keberkesanan usaha pencegahan rasuah.
“Di Parlimen tadi, saya menyempurnakan penyerahan surat cara pelantikan kepada anggota baharu JKMR dan LPPR, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Saya sampaikan amanat kepada anggota yang baharu dilantik supaya membulatkan tekad dalam memperkukuh agenda pencegahan rasuah,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook malam ini.
Beliau berkata meskipun mereka datang daripada pelbagai latar belakang, anggota yang dilantik berkongsi satu amanah untuk memperkasakan usaha membanteras rasuah demi kepentingan negara.
JKMR diwujudkan secara perundangan mengikut seksyen 14 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan ahli-ahli JKMR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat, mewakili parti pemerintah dan pembangkang.
Sementara LPPR, diwujudkan mengikut seksyen 13 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan ahli-ahli dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan orang yang berintegriti dan telah memberikan perkhidmatan awam yang cemerlang atau mencapai keunggulan dalam profesion masing-masing. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001