Dari Meja Editorial
DEWAN Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan secara rasmi dibubarkan hari ini selepas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun memperoleh perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Pembubaran itu menjadikan Negeri Sembilan negeri kedua yang menuju pilihan raya negeri selepas Johor yang membubarkan DUN pada 1 Jun lalu.
Tumpuan kini terarah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dijangka mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi menetapkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian.
DUN Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi keseluruhannya. Sebelum pembubaran, Pakatan Harapan (PH) menguasai majoriti kerusi dengan 17 DUN, manakala Barisan Nasional (BN) memiliki 14 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) lima kerusi.
Setakat ini komposisi DUN Negeri Sembilan sebelum pembubaran ialah DAP 11 kerusi diikuti PKR (lima) dan Amanah (satu), UMNO dalam BN pula, diikuti PN iaitu Pas (tiga) dan Bersatu (Dua).
Bagaimanapun, landskap politik negeri itu berubah apabila 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN mengumumkan penarikan sokongan terhadap kerajaan negeri.
Keadaan itu menyebabkan pentadbiran yang dipimpin Aminuddin beroperasi sebagai kerajaan minoriti. Namun, beliau kekal menerajui kerajaan negeri selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini dijangka menjadi medan penentu sama ada PH masih mampu mengekalkan penguasaan politik di Negeri Sembilan atau berdepan cabaran lebih sengit daripada blok pembangkang.
Bagi PH, sasaran utama bukan sekadar mempertahankan kerajaan negeri, malah memperkukuhkan kedudukan dengan memperoleh majoriti lebih besar. Keputusan tersebut penting bagi memastikan kestabilan pentadbiran dan menangkis sebarang usaha pihak lawan untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya.
Cabaran yang menanti bukanlah mudah. Sentimen pengundi pada PRN kali ini dijangka dipengaruhi bukan sahaja oleh prestasi kerajaan negeri, malah perkembangan politik dan ekonomi di peringkat nasional.
Pemerhati politik melihat kepimpinan Aminuddin di negeri itu masih mempunyai kekuatan tersendiri, khususnya dari sudut rekod pentadbiran dan pengalaman mengurus kerajaan negeri.
Namun, prestasi PH secara keseluruhan tetap bergantung kepada sejauh mana gabungan itu mampu meyakinkan pengundi bahawa ia masih relevan dan berupaya memenuhi harapan rakyat.
Persoalan utama kini ialah sama ada PH mampu menambah jumlah kerusi yang dimenangi sebelum ini atau sekurang-kurangnya mengekalkan kedudukan sedia ada.
Sekiranya berlaku penyusutan sokongan, ia berkemungkinan mencerminkan perubahan sentimen pengundi terhadap isu-isu nasional yang memberi kesan kepada persepsi terhadap kerajaan Persekutuan.
Apa pun keputusannya nanti, PRN Negeri Sembilan bakal menjadi antara medan penting untuk mengukur kekuatan parti-parti politik utama negara serta menilai kecenderungan pengundi menjelang pilihan raya umum akan datang.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L