Pengisytiharan lucut Tuanku Muhriz tidak sah, bercanggah adat dan undang-undang – MB

SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan menegaskan tindakan mengisytiharkan pelucutan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir adalah tidak sah, tidak berperlembagaan serta langsung tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tindakan itu dibuat oleh individu yang sudah hilang kedudukan dan tidak lagi mempunyai kuasa dalam struktur adat Negeri Sembilan.

Justeru, katanya, sebarang pengisytiharan yang dilakukan tidak mempunyai sebarang kesan dari sudut undang-undang mahupun adat istiadat.

Menurut beliau, individu berkenaan telah pun diberhentikan sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Luak Sungei Ujong melalui proses yang sah dan teratur mengikut adat Telaga Undang, Waris Klana Hulu.

Keputusan itu berkuat kuasa sejak 13 Mei 2025 selepas mengambil kira pelbagai pelanggaran adat dan tanggungjawab yang telah dilakukan.

Katanya, pemberhentian itu bukan dibuat secara sewenang-wenangnya, sebaliknya melalui penelitian mendalam oleh pihak waris serta pemegang adat yang mempunyai autoriti dalam menentukan kedudukan seseorang penyandang pesaka.

Proses itu selaras dengan amalan turun-temurun yang menjadi asas pemerintahan beradat di Negeri Sembilan.

Aminuddin menjelaskan, perkara tersebut kemudiannya dibawa ke Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan pada 17 April lalu, di mana badan itu bersetuju untuk menerima dan menyokong keputusan pemberhentian berkenaan.

Keputusan itu dibuat berdasarkan peruntukan Fasal 14(3) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 selepas mendapati terdapat 33 kesalahan melibatkan adat dan pesaka.

Beliau menegaskan, DKU memainkan peranan penting sebagai badan penasihat tertinggi dalam hal ehwal adat Melayu di negeri ini, termasuk urusan pelantikan, pengesahan dan pemberhentian Undang Luak.

Peranan tersebut diperuntukkan secara jelas dalam Perkara 16 UUTKNS dan menjadi rujukan utama dalam memastikan setiap tindakan mematuhi undang-undang serta adat.

“DKU bukan sekadar badan simbolik, sebaliknya berfungsi memastikan kelangsungan sistem adat berjalan dengan teratur dan dihormati. Setiap keputusan yang dibuat adalah berlandaskan undang-undang serta perbincangan bersama pihak berkepentingan,” katanya.

Dalam hal ini, beliau menegaskan, sebarang tindakan luar daripada saluran rasmi, termasuk pengisytiharan yang dibuat oleh individu yang telah dilucutkan jawatan, tidak mempunyai sebarang nilai atau kesahan.

Malah, tindakan sedemikian boleh mengelirukan rakyat serta mencetuskan kekeliruan terhadap institusi adat negeri.

Aminuddin turut menjelaskan, tindakan pemberhentian penyandang pesaka bukan sesuatu yang luar biasa dalam sistem adat Negeri Sembilan.

Sebelum ini, kes seumpama itu pernah berlaku apabila penyandang pesaka Undang Luak Johol ke-14 diberhentikan pada tahun 2016 selepas didapati melakukan pelanggaran terhadap adat dan tanggungjawabnya.

Katanya, contoh tersebut menunjukkan sistem adat negeri mempunyai mekanisme tersendiri untuk menangani isu berkaitan integriti dan kepatuhan penyandang pesaka, tanpa perlu melibatkan tindakan yang bercanggah dengan undang-undang.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sidang khas terbaru DKU yang diadakan di Istana Besar Seri Menanti turut memperlihatkan komitmen pihak istana dalam memastikan setiap keputusan dibuat secara telus dan inklusif.

Dalam sidang itu, Tuanku Muhriz telah menggunakan peruntukan Fasal 24 UUTKNS 1959 bagi menjemput wakil Ibu Soko Klana Hulu serta Waris Klana Hulu untuk turut serta dalam perbincangan.

Langkah itu, menurut beliau, penting bagi memastikan semua pihak yang mempunyai kepentingan dalam adat diberi ruang untuk menyuarakan pandangan sebelum sesuatu keputusan dimuktamadkan. Ia sekali gus mengukuhkan legitimasi keputusan yang dicapai.

Sehubungan itu, Aminuddin menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan sebarang tindakan atau kenyataan yang tidak selaras dengan keputusan rasmi negeri.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri bersama institusi adat akan terus mempertahankan kedaulatan undang-undang serta memastikan sistem adat Negeri Sembilan kekal dihormati dan dipatuhi.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *