Nur Adnin Najihah Kongsi Kunci Kejayaan 9A SPM

Oleh: Abd. Ghaffar Daud

RANTAU PANJANG – “Jaga hubungan dengan Allah, hormati ibu bapa dan guru, serta jangan putus asa dalam usaha”.

Itulah antara pegangan utama dikongsikan Nur Adnin Najihah Abdul Aziz, pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan di Dewan Terbuka Maahad Muhammadi Rantau Panjang (MMRP) di sini, semalam.

Menurut beliau, kejayaan yang diraih bukanlah hasil usaha sendiri semata-mata, sebaliknya lahir daripada doa serta sokongan berterusan daripada ibu bapa, guru dan rakan.

“Saya percaya apabila kita menjaga hubungan dengan Allah, hati menjadi lebih tenang dan mudah untuk fokus dalam pelajaran,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan menjaga hubungan dengan ibu bapa dan guru, selain mengamalkan pembelajaran secara berkumpulan bersama rakan sebagai salah satu strategi berkesan.

“Kami saling membantu, berkongsi ilmu dan memberi semangat antara satu sama lain,” ujarnya.

Tambahnya lagi, beliau sentiasa mengamalkan teknik menjawab soalan seperti diajar oleh guru, sekali gus meningkatkan keyakinan ketika menghadapi peperiksaan.

Nur Adnin Najihah adalah anak bongsu daripada lima beradik dan bapanya pesara Ketua Pembantu Tadbir Hospital Daerah Pasir Mas, manakala ibunya, Che Hasnah Che Abdul Rahman merupakan seorang suri rumah.

Mengulas mengenai perancangan masa depan, Nur Adnin Najihah menyimpan hasrat untuk menjadi seorang guru bahasa Inggeris, mengikuti jejak langkah kakaknya yang menjadi sumber inspirasi utama.

“Saya berharap dapat menyambung pelajaran dalam bidang ini sama ada di universiti atau Institut Pendidikan Guru (IPG),” katanya.

Dalam pada itu, keputusan keseluruhan SPM MMRP mencatatkan pencapaian memberangsangkan apabila dua pelajar lagi meraih 7A, dan sembilan pelajar memperoleh 5A.

Mengakhiri perkongsian, beliau berpegang kepada prinsip doa, usaha dan tawakal sebagai asas kejayaan.

“Kita berusaha sebaik mungkin, kemudian serahkan kepada Allah. Insya-Allah, Allah akan membantu kita dari pelbagai arah,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *