NICE – Aksi cemerlang Nuno Mendes membantu Paris Saint-Germain kembali ke puncak Ligue 1 selepas membelasah Nice 4-0 di tempat lawan.
PSG kini mengumpul 60 mata daripada 26 perlawanan, satu mata di hadapan Lens yang sebelum ini menang besar 5-1 ke atas Angers, serta bermain kurang satu perlawanan.
Nice pula kekal pada 27 mata daripada 27 perlawanan, hanya lima mata di atas zon penyingkiran.
Selepas beberapa peluang terlepas, PSG akhirnya membuka jaringan pada minit ke-42 apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti selepas semakan VAR mendapati Morgan Sanson menyentuh bola dengan tangan.
Mendes tidak mensia-siakan peluang itu untuk menjaringkan gol keenamnya musim ini.
Bersambung babak kedua, pemain Portugal itu sekali lagi mencuri tumpuan apabila melakukan larian solo sebelum membuat umpanan kepada Desire Doue yang meledak gol kedua pada minit ke-49.
Nice kemudian beraksi dengan 10 pemain selepas Youssouf Ndayishimiye dilayangkan kad merah susulan terjahan keras ke atas Lee Kang-in.
PSG hampir menambah jaringan menerusi Khvicha Kvaratskhelia namun gol itu dibatalkan kerana Ousmane Dembele berada dalam kedudukan ofsaid.
Pasukan pelawat akhirnya menambah gol ketiga menerusi pemain muda Dro Fernandez – bekas pemain akademi Barcelona – yang menjaringkan gol pertama bersama skuad senior.
Warren Zaire-Emery melengkapkan kemenangan bergaya PSG dengan gol keempat pada penghujung perlawanan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L