Che GuBard Dipecat Bersatu, Dakwa Parti Lari Daripada Agenda Rakyat

KUALA LUMPUR – Ketua Parti Bersatu Bahagian Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau Che GuBard dipecat dari parti berkuat kuasa serta-merta.

Pemecatan itu dimaklumkan Setiausaha Lembaga Disiplin parti menerusi aplikasi WhatsApp kira-kira jam 6 petang semalam.

Mengulas perkembangan tersebut, Che GuBard mendakwa tindakan itu sudah dijangka, selain menuduh Bersatu kini tidak lagi memperjuangkan kepentingan rakyat, sebaliknya lebih memihak kepada kelompok tertentu.

“Seperti dijangka, sekitar jam 6 petang semalam, saya dipecat oleh parti melalui WhatsApp,” katanya sambil memaklumkan satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Terdahulu, pada 10 Mac lalu, beliau menerima notis tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin parti berhubung beberapa dakwaan, termasuk mencemarkan imej dan nama Bersatu.

Namun, beliau memilih untuk tidak memberikan maklum balas kerana menganggap pertuduhan tersebut tidak berasas.

Che GuBard turut mendakwa situasi berkenaan mencerminkan kawalan dalaman parti yang ketat sehingga menyekat kebebasan ahli untuk bersuara.

Menurut notis pemecatan yang dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin, Mohd Radzi Manan, tindakan diambil selepas kegagalan beliau menjawab notis dalam tempoh ditetapkan.

Lembaga Disiplin memutuskan pemecatan dibuat di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan parti susulan pelanggaran Fasal 9.1.4 serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

Bagaimanapun, Che GuBard masih mempunyai ruang untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis.

Beliau yang dipilih sebagai Ketua Bersatu Port Dickson pada November 2024 menegaskan akan terus memperjuangkan isu rakyat serta memerangi rasuah meskipun tidak lagi bersama parti.

Untuk rekod, Che GuBard pernah menyertai Parti Keadilan Rakyat sebelum dipecat pada 2016 dan kemudiannya menyertai Bersatu pada 2020.

Dalam perkembangan berkaitan, Bersatu kini dilihat berdepan kemelut dalaman melibatkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang sebelum ini membawa kepada beberapa tindakan disiplin termasuk pemecatan dan penggantungan pemimpin kanan parti.

Antara yang terkesan ialah bekas Naib Presiden, Datuk Seri Ronald Kiandee serta bekas Ketua Wanita, Mas Ermieyati Samsudin.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *