TANGKAK – Seorang lelaki maut selepas diserang tiga lelaki bersenjata parang dalam kejadian pergaduhan dipercayai membabitkan dua kumpulan di hadapan sebuah restoran di Bukit Kangkar, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa dikenali sebagai Tong Wei Sheng, berusia lingkungan 30-an, disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital akibat kecederaan parah pada tangan, kaki dan bahagian belakang badan.
Menurut sumber, sebelum kejadian mangsa bersama seorang rakannya dipercayai datang ke lokasi berkenaan untuk bertemu dengan beberapa individu daripada kumpulan lain.
Katanya, ketika itu terdapat empat individu dilihat sedang berbual di luar restoran terbabit sebelum beberapa kenderaan tiba di lokasi berkenaan tidak lama kemudian.
“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa dikejar oleh tiga lelaki yang masing-masing bersenjatakan parang serta menutup muka menggunakan baju sejuk dan topeng.
“Mangsa yang tidak membawa sebarang senjata cuba mempertahankan diri dengan menahan serangan menggunakan tangan, namun mengalami kecederaan parah,” katanya.
Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Beliau berkata, pihak polis akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L